Ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) Zawiah Sulong, 59, sedang menyembur baja pada tanaman yang diusahakan. FOTO NAZDY HARUN.
Ahli Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) Zawiah Sulong, 59, sedang menyembur baja pada tanaman yang diusahakan. FOTO NAZDY HARUN.
Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Walaupun sukar untuk berkomunikasi namun tidak menjadi halangan bagi 25 individu pekak mendalami ilmu pertanian sejak empat tahun lalu.

Zawiah Sulong, 59, dari Kampung Padang Midin di sini, berkata, peluang yang diberikan oleh Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) membolehkannya mempelajari ilmu-ilmu berkaitan pertanian dengan cara yang betul.

Menurutnya, ilmu yang dipelajari di kebun (tapak projek) di Batu Buruk, dia mengadaptasikan ilmu berkenaan dengan turut berkebun sendiri di kawasan halaman rumahnya.

Katanya, walaupun fizikal kelihatan normal namun keterbatasan untuk berkomunikasi menyebabkan dia sukar untuk bertutur dengan individu normal bagi mempelajari ilmu berkaitan tanaman.

"Justeru, dengan adanya program ini saya berpeluang mempelajari teknik-teknik tanaman sayuran dan buah-buahan dengan betul.

"Selain itu, program ini mampu memberi pulangan pendapatan yang diberikan melalui jualan sayuran dan buah-buahan yang ditanam," katanya.

Rakannya, Zulkifli Zakaria, 53, dari Kampung Duyong dekat sini, berkata, melalui program seperti ini dapat meningkatkan kemahiran dan dalam masa sama dia boleh menggunakan ilmu yang dipelajari untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

"Saya akui orang pekak sememangnya sukar untuk berkomunikasi apatah lagi untuk menghadiri mana-mana kursus bagi meningkatkan kemahiran.

"Justeru, peluang yang ada diguna sebaik mungkin selain mampu menambah pendapatan melalui pulangan dibahagikan selepas hasil jualan diperoleh," katanya yang ditemubual dengan bantuan penterjemah profesional, Khalid Abdul Walid Ahmad.

Presiden POPT, Tengku Arman Harris Tengku Ismail, 52, pula berkata, persatuan itu menjalinkan usahasama bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam menjalankan program pemindahan ilmu berkaitan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Selain kerjasama bersama UMT, kami turut mendapat bantuan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT).

"Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan taraf ekonomi orang kurang upaya (OKU) pekak yang dilihat masih tersisih berikutan kekurangan yang dihadapi," katanya.

Menurutnya, program itu memberi peluang kepada ahli POPT mempelajari ilmu pertanian dan perniagaan selain boleh diusahakan sendiri bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Sementara itu, Pensyarah Falkulti Perikanan dan Sains Makanan UMT Prof Madya Ts Dr Wan Zaliha Wan Sembok berkata, UMT menjalankan program pemindahan ilmu sejak 2020 bersama POPT yang mana permulaannya mereka menjalankan tanaman buah Melon Terengganu.

"Selepas itu dengan dana yang diperoleh, kita mengorak langkah dengan memulakan tanaman sayur-sayuran dan terbaru kita memperkenalkan tanaman Roselle kepada peserta.

"Difahamkan, hasil jualan 70 peratus dibahagi kepada peserta manakala 30 peratus lagi disalurkan kepada persatuan.

"Dalam masa sama kita melihat program ini bukan saja satu proses pemindahan ilmu malah peserta juga dapat menjana pendapatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:28 AM