IMEE Marcos (tengah) menunjukkan isyarat tanda keamanan ketika menghadiri tunjuk perasaan di depan Mahkamah Agung Filipina di Manila,  semalam. - AFP
IMEE Marcos (tengah) menunjukkan isyarat tanda keamanan ketika menghadiri tunjuk perasaan di depan Mahkamah Agung Filipina di Manila, semalam. - AFP
AFP

Manila: Anak perempuan mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos meminta maaf semalam ketika menyertai tunjuk perasaan di Mahkamah Agung menjelang keputusan satu petisyen bagi menghalang mayat pemimpin itu dikebumikan di Makam Pahlawan Negara.

Kira-kira 1,000 penyokong berhimpun bersama Imee Marcos di hadapan mahkamah yang dijangka meluluskan atau tidak arahan Presiden Rodrigo Duterte yang membenarkan mayat Marcos dikebumikan di makam berkenaan.

Imee yang juga gabenor Ilocos Norte, bandar kelahiran Marcos, mendesak aktivis hak asasi dan pengkritik menamatkan kempen menentang pengebumian bapanya di situ.

“Kepada sesiapa yang mengkritik dan tidak bersetuju dengan kami, saya berharap ketepikan semua perasaan marah anda.

“Setiap kita ada perasaan marah dan kecewa di dalam hati tetapi kita mesti ketepikan semua itu,” katanya.

Bagaimanapun, Imee tetap mempertahankan pendirian keluarganya bahawa pemerintahan bapanya selama 21 tahun membawa kesan positif kepada negara.

Pentadbiran Marcos dianggap kuku besi dan dia juga didakwa menggelapkan wang berbilion dolar serta melanggar hak asasi manusia.

Marcos dan isterinya, Imelda melarikan diri ke Amerika Syarikat pada 1986 apabila kerajaannya ditumbangkan kebangkitan rakyat yang disokong tentera.

Pemimpin itu meninggal dunia di Hawaii pada 1989 dan mayatnya yang diawet dibawa pulang pada 1993 dan diletakkan di dalam keranda kaca di bandar Ilocos Norte.

Semua presiden sebelum ini menolak permohonan supaya Marcos dikebumikan di Makam Pahlawan tetapi Duterte yang menang besar dalam pilihan raya Mei lalu meluluskan permintaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 8:00 AM