KEDIAMAN unik yang menarik perhatian.
KEDIAMAN unik yang menarik perhatian.
RUANG dapur turut mendapat sentuhan dekorasi ala rumah ladang.
RUANG dapur turut mendapat sentuhan dekorasi ala rumah ladang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DI sebalik ketenangan Kampung Sawah Sunggala, di Port Dickson, Negeri Sembilan tersergam indah sebuah rumah yang mencuri perhatian ramai.

Vila setingkat berwarna putih dengan dekorasi rumah ladang moden ala Inggeris itu bukan sahaja menyejukkan mata memandang, malah memiliki landskap berbeza daripada rumah biasa di negara ini.

Biarpun konsep ala rumah ladang moden masih baharu di negara ini, namun pemilik, Yuslan Ibrahim, 45, mengambil langkah berani memandangkan elemen rona putih dapat memberi konsep dekorasi yang segar selain menyejukkan mata memandang.

Yuslan berkata, rumah dengan binaan 1,380 kaki persegi berkenaan memiliki lima bilik tidur, tiga bilik air dan siap dibina pada 2021.

Kata guru itu lagi, rumah berkenaan pada perancangan asal dijadikan sebagai rumah persaraan, justeru ia sengaja direka setingkat supaya lebih mesra golongan tua dan orang kurang upaya (OKU).

"Namun, disebabkan saya sekeluarga menetap di kediaman lain, rumah ini dijadikan sebagai inap desa terlebih dahulu.

"Rumah ini menterjemahkan dekorasi kediaman idaman kami sekeluarga," katanya.

LANDSKAP menarik di halaman rumah.
LANDSKAP menarik di halaman rumah.

Menurut Yuslan lagi, konsep dekorasi ala rumah ladang menjadi pilihan kerana ia sesuai dengan lokasi kediaman itu yang terletak di hujung kampung selain dekat dengan anak sungai, kebun buah-buahan dan kandang kambing.

Dia berkata, karakter utama konsep dekorasi itu juga sesuai kerana ia rapat dengan alam dan menggunakan banyak elemen kayu dengan persekitaran yang nyaman dipenuhi pepohon menghijau.

Katanya, tumpuan utama konsep dekorasi itu adalah lebih kepada kawasan ruang tamu dan dapur.

"Namun, secara peribadi saya paling menggemari kawasan pit api di luar rumah, ia adalah angan-angan sejak kecil yang inginkan suasana seakan-akan berada di luar negara," katanya.

RUANG tamu yang selesa.
RUANG tamu yang selesa.

Jelas Yuslan lagi, dari segi penggunaan warna, pilihan rona yang menjadi pilihan untuk rumah ini adalah kebanyakannya daripada rona putih, hitam dan coklat.

"Ia dipadankan dengan perabot daripada kumpulan rona sama dan mesra kanak-kanak.

"Memandangkan konsep rumah ladang yang ditampilkan dan saya banyak menggunakan kaedah lakukan sendiri (DIY), misalnya bilik ditampilkan konsep 'wall shiplap' seakan-akan kayu pada bahagian dinding, ruang makan juga berlatarbelakangkan 'shiplap' seakan-akan efek kayu yang juga dihasilkan sendiri," katanya.

Sementara itu, rumah berkenaan turut dilengkapkan dengan kemudahan kolam renang bersaiz 30 x 10 kaki yang ada bahagian kanak-kanan dan dewasa.

BILIK tidur menggunakan konsep dekorasi hitam putih.
BILIK tidur menggunakan konsep dekorasi hitam putih.

Menurut Yuslan, dia menyediakan kemudahan itu kerana ia menjadi trend keluarga hari ini yang inginkan ruang privasi dan kolam renang adalah pilihan utama.

"The Farmhouse PD kami ini dibina dalam kawasan berpagar seluas suku ekar dan jauh dari hiruk-pikuk bandar.

"Apa yang istimewa, bukan hanya boleh bersantai di rumah ini, malah juga boleh meronda di sekeliling kampung atau mengadakan jamuan barbeku.

"Bagi mengisi masa yang ada, kami juga menyediakan permainan congkak, catur, memanah dan badminton," katanya yang turut kreatif menghias landskap halaman rumah berkenaan dengan rumput karpet serta pelbagai hiasan menarik.

RUANG makan diberi sentuhan menarik.
RUANG makan diberi sentuhan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 6:20 AM