RUANG tamu berkonsepkan putih yang dikontrakan dengan perabot rona semula jadi.
RUANG tamu berkonsepkan putih yang dikontrakan dengan perabot rona semula jadi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DALAM dekorasi dalaman, rona putih dianggap melambangkan ketinggian, kesucian dan keanggunan.

Ia serba boleh, banyak kelebihan dan memberi kebebasan untuk menzahirkan penyelesaian kreatif.

Rona putih juga berfungsi sebagai latar belakang yang sempurna untuk aksen lebih dramatik.

Itu sebabnya ruang tamu berwarna putih sentiasa kekal relevan.

Idea itu juga masih menarik tumpuan pemilik rumah hari ini dalam memilih reka bentuk ruang tamu impian.

Pereka dalaman dari Azri Design Architect, Farah Najiha Mohamad Yahya berkata, penggunaan warna putih tidak asing lagi dalam dekorasi rumah khususnya yang bertemakan gaya Inggeris.

Kata Farah Najiha, konsep semua putih (all white) kian menjadi pilihan di negara ini kerana ia dapat membantu memantulkan cahaya semula jadi, sekali gus menjadikan sesuatu ruang itu lebih terang.

"Penggunaan warna putih juga secara tidak langsung dapat menjadikan sesebuah bilik atau ruang kelihatan lebih luas.

"Selain itu, ia mewujudkan suasana yang cerah dan harmoni dalam rumah.

"Konsep semua putih juga sesuai digunakan untuk pelbagai tema seperti gaya moden, gaya minimalis dan banyak lagi," katanya.

Menurut Farah Najiha lagi, konsep semua putih itu sesuai digunakan di semua ruang dalam rumah.

Tambahnya, menampilkan dekorasi bertemakan putih boleh menunjukkan ketulenan dan kesucian sesuatu ruang.

RUANG makan kelihatan lebih selesa dengan dekorasi bertema putih.
RUANG makan kelihatan lebih selesa dengan dekorasi bertema putih.

Kata Farah Najiha, penggunaan warna putih juga dapat menyerlahkan lagi keluasan sesuatu ruang .

"Sebagai contoh, sekiranya penggunaan dekorasi bertemakan putih digunakan di bilik tidur, ia akan membolehkan seseorang itu lebih kreatif ketika menghiasi bilik tidur.

"Ia membolehkan sebuah bilik tidur itu nampak lebih teratur dan kemas.

"Selain itu, pemilihan dekorasi bertemakan semua putih di ruang tidur juga menjadikan ruang berkenaan lebih berkonsepkan minimalis," katanya.

Dalam pada itu, sedikit sentuhan warna dan elemen kontra juga dapat menyerikan lagi ruang yang dilatari rona putih.

Farah Najiha berkata, sentuhan elemen warna semula jadi seperti menggunakan lantai bercorak kayu atau LSPC dapat menaikan lagi seri ruang yang mengunakan tema berwarna putih.

Pemilihan pokok dan bunga hiasan juga katanya dapat menyerikan ruang yang bertemakan warna putih.

"Pengunaan warna yang lebih gelap atau semula jadi untuk perabot juga dapat menaikkan seri sesuatu ruang.

FARAH Najiha
FARAH Najiha

"Namun jangan lupa, pemilihan warna lampu juga salah satu elemen penting dalam menjadikan sesuatu ruang itu lebih menarik," katanya.

Sementara itu, dekorasi bertemakan putih juga memiliki banyak kontranya.

Kata Farah Najiha, warna terang terutama putih, memerlukan kerja pembaikan dan kemasan yang sempurna.

Jika tidak, sebarang kelemahan kecil akan menjadi ketara dan merosakkan semua keindahan idea reka bentuk.

Katanya, bilik atau ruang tamu yang bertemakan putih juga perlu sentiasa dikemas dan dibersihkan kerana menjadi lebih cepat kotor jika dibiarkan begitu sahaja.

"Jika membina kabinet dapur atau kabinet televisyen berwarna putih pula, pastikan ia sentiasa dilapkan untuk mengelakkan habuk dan kotoran daripada melekat.

KABINET dapur berwarna putih juga memerlukan penjagaan tersendiri.
KABINET dapur berwarna putih juga memerlukan penjagaan tersendiri.

"Tip lain, pastikan pemilihan warna kontra yang sesuai, contohnya menggunakan sofa berwarna gelap atau warna semula jadi.

"Selain itu, hiasan pokok hijau juga dapat membantu menaikkan lagi seri sesuatu ruang manakala bingkai gambar dan cermin turut membantu menjadikan ruang lebih berseri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 7:00 AM