RUANG tamu tampak moden.
RUANG tamu tampak moden.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


"Rumah adalah ruang privasi untuk merehatkan diri selepas seharian penat bekerja. Jadi, ia perlu selesa dan menenangkan fikiran.

"Sebagai orang bujang dan masih lagi menyewa, rasanya tidak perlulah dekorasi yang berlebihan. Konsep moden industri seperti ini sudah lebih dari memadai," kata kakitangan swasta, Fandi Nen, 32.

Apatah lagi dekorasi rumah berkonsepkan industri bukan lagi sesuatu yang asing untuk masyarakat di negara ini.

Gaya atau konsep industri biasanya menggunakan warna 'monokromatik' atau gelap untuk menjelmakan sisi maskulin dan 'keras' berdasarkan penggunaan material tertentu yang sengaja ditampilkan untuk menunjukkan karakternya.

Asalnya dekorasi itu menjadi pilihan untuk reka bentuk kafe, restoran, ruang komersial dan pejabat.

Namun lama-kelamaan ia dilihat semakin mendapat sambutan hingga menjadi pilihan utama golongan bujang hari ini.

RUANG makan yang juga berkonsepkan industri.
RUANG makan yang juga berkonsepkan industri.

Antara elemen penting dalam tema industri moden adalah susun aturnya.

Menurut Fandi, dia tertarik dengan reka bentuk kafe yang berkonsepkan industri ketika melancong ke Korea sebelum ini dan mempraktikkan tema itu kepada rumah sewanya yang terletak di Sepang, Selangor.

Katanya, dia menyewa rumah pangsapuri seluas 800 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik itu sejak awal tahun lalu sementara menunggu rumah yang dibelinya siap.

"Saya menggemari rona hitam, jadi kebanyakan perabot dan peralatan rumah juga daripada rona itu.

"Kebetulan, warna itu adalah antara rona utama untuk konsep industri, jadi mudahlah untuk menyusun atur supaya ia kelihatan moden dan selesa," katanya.

PERALATAN dapur juga daripada rona hitam untuk disesuaikan dengan konsep industri.
PERALATAN dapur juga daripada rona hitam untuk disesuaikan dengan konsep industri.

Fandi berkata, walaupun keluasan ruang rumahnya agak terhad namun dengan penggunaan pelbagai material seperti cermin dan rak pelbagai guna, ia sedikit sebanyak dapat membantu ruang kelihatan lebih luas.

Katanya, dinding ruang tamu rumahnya hanya dihiasi dua bingkai lukisan untuk memastikan ia tidak kelihatan serabut dengan dekorasi.

"Untuk ruang makan, elemen dekorasi lebih kepada seni dan abstrak dengan sepokok pokok hiasan hijau untuk menyerikan meja makan.

"Di dapur pula, saya juga menggunakan peralatan berwarna hitam dan putih kerana kabinet dapur yang disediakan pemilik adalah berwarna putih," katanya.

Sementara itu, ruang balkoni rumah anak bujang ini juga dihiasi menarik dengan hiasan pokok dan rumput tiruan serta lampu LED.

Set meja dan dua kerusi bar juga disediakan untuk bersantai menikmati secawan kopi pada waktu petang atau malam.

Kata Fandi, dekorasi hijau di ruang balkoni luar itu adalah kontra untuk konsep industri di dalam rumahnya.

SET meja dan kerusi bar untuk bersantai menikmati secawan kopi pada waktu petang atau malam.
SET meja dan kerusi bar untuk bersantai menikmati secawan kopi pada waktu petang atau malam.

"Hijau adalah rona yang menenangkan fikiran dan ia memberi mood yang tersendiri.

"Ruang itu juga menjadi kegemaran ahli keluarga bila berkumpul di rumah ini," katanya.

Menurut Fandi lagi, dia juga merancang untuk menghiasi bilik tidurnya pula dengan konsep industri.

Katanya, alang-alang menggunakan konsep itu di ruang tamu, dia ingin melihat hasil yang sama di ruang peribadinya.

"Jarang bilik tidur berkonsepkan industri atau menggunakan rona sepenuhnya.

"Namun, tidak salah untuk mencuba, harapnya hasilnya tidak mengecewakan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 7:00 AM