KONSEP rumah ladang mendamaikan yang kian menjadi pilihan.
KONSEP rumah ladang mendamaikan yang kian menjadi pilihan.
IDEA konsep terbuka di ruang tamu yang tampak lapang dan luas.
IDEA konsep terbuka di ruang tamu yang tampak lapang dan luas.
LUAR rumah dihiasi dengan pokok bunga bagi menyerlahkan suasana alam semulajadi.
LUAR rumah dihiasi dengan pokok bunga bagi menyerlahkan suasana alam semulajadi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Tenang dan mendamaikan. Hasil gabungan elemen alam semula jadi daripada pokok bunga dan penggunaan rona lembut antara kelebihan dekorasi berkonsepkan rumah ladang (farm house).

Sentuhan warna lembut neutral khususnya pada hiasan dalaman rumah sememangnya dapat memberi ketenangan kepada penghuni.

Tidak hairanlah jika konsep itu semakin diminati dan kekal relevan sepanjang masa terutama kepada pemilik kediaman bertanah.

Pemilik dan pengasas AsriSiti Decor, Asri Meris, 40, berkata, karakter utama konsep dekorasi itu adalah pada konsep terbuka di ruang yang lebih lapang dan luas.

Ia dapat dilihat pada keterbukaan ruang dapur yang terus ke ruang tamu dan ruang makan.

Kata Asri, konsep itu mengutamakan sistem pencahayaan semula jadi yang baik untuk memberi impak terang dan lapang kepada sesuatu ruang sekali gus memberi kesan yang menenangkan.

"Kediaman berkonsepkan rumah ladang juga biasanya memiliki rekaan tingkap yang besar, ia bagi membolehkan penghuni melihat pemandangan luar yang dipenuhi dengan pokok bunga dan menikmati suasana alam semula jadi.

KEDIAMAN pasti tampak menarik dengan gabungan  alam semula jadi  pokok bunga, rona lembut.
KEDIAMAN pasti tampak menarik dengan gabungan alam semula jadi pokok bunga, rona lembut.

"Selain itu, konsep rumah ladang juga sinonim dengan hiasan lakukan sendiri (DIY) contohnya meja kopi daripada kayu terbuang, bunga gantung, pintu barn dan sebagainya yang sesuai dengan konsep rumah ladang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Asri lagi, dia secara peribadi turut menggemari konsep dekorasi berkenaan dan ia diguna pakai kepada kediaman keluarganya yang sudah diduduki sejak lapan tahun lalu.

Katanya, dia dan isteri, Siti Rohani Shuib, memberi lebih tumpuan kepada beberapa ruang utama di kediaman mereka iaitu ruang tamu, ruang makan dan dapur kerana ia bersambung dalam kawasan yang sama serta berkonsep konsep terbuka.

"Dari segi penggunaan warna, gabungan elemen kayu semula jadi dengan warna putih dan rona lembut memberi impak besar dalam mewujudkan mood dekorasi ala farmhouse.

DEKORASI menarik di kamar mandi.
DEKORASI menarik di kamar mandi.

"Elakkan penggunaan warna yang terlalu gelap dan terang sebaiknya memilih tona warna semula jadi seperti kelabu lembut, gangsa, 'off-white' dan warna-warna cerah," katanya.

Jelas Asri lagi, dia dan isteri menggunakan perabot yang praktikal bagi keperluan ruang di kediaman mereka.

Selain itu, warna perabot yang tidak terlalu gelap dan material yang senang dijaga juga menjadi pilihan pasangan itu kerana mereka memiliki dua anak perempuan yang sedang membesar serta gemar melakukan aktiviti di rumah.

Kata Asri, ramai penggemar dekorasi hari ini mula beralih kepada konsep rumah ladang namun masih tidak ada yang kurang memahami sepenuhnya konsep asal dekorasi berkenaan.

PENATAAN terbuka di ruang makan dan dapur.
PENATAAN terbuka di ruang makan dan dapur.

"Ada yang gemar meletakkan terlalu banyak elemen hiasan, menjadikan ruang semakin sarat dan nampak serabut.

"Tidak kurang juga yang gemar menggunakan terlalu banyak gabungan warna. Secara tidak langsung turut 'menghilangkan' konsep asal dekorasi ala farmhouse.

"Sebaiknya, elakkan penggunaan terlalu banyak perabot hingga menutupi sesuatu ruang dan menghalang pencahayaan semula jadi," katanya.

Sementara itu, penggemar dekorasi juga dinasihatkan supaya tidak mencampurkan terlalu banyak konsep ke dalam dekorasi rumah ladang impian mereka.

BUAIAN daripada kayu yang menyerlahkan elemen deko ala farmhouse.
BUAIAN daripada kayu yang menyerlahkan elemen deko ala farmhouse.

Contohnya, konsep perabot mewah dan scandinavia yang dicampurkan sekali di dalam satu ruang di rumah.

Kata Asri, barangan dekorasi yang terlalu banyak menjadikan kediaman kelihatan sarat dan sempit.

"Terlalu banyak hiasan dekorasi pokok atau bunga palsu juga tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan konsep rumah ladang tampak kaku.

"Apapun, jangan lupa selitkan elemen kayu semula jadi yang sememangnya sinonim dengan konsep ini," katanya mengakhiri perbualan.

ASRI dan keluarga memilih konsep rumah ladang untuk kediaman mereka.
ASRI dan keluarga memilih konsep rumah ladang untuk kediaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 6:31 AM