KOMBINASI dekorasi berkonsepkan rona hitam putih menjadi pilihan Wan Nur Rashidah sekeluarga.
KOMBINASI dekorasi berkonsepkan rona hitam putih menjadi pilihan Wan Nur Rashidah sekeluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

TEMA minimalis dengan warna dominan hitam dan putih menjadi pilihan ramai kerana dekorasinya dikatakan lebih kemas serta tampak teratur.

Konsep moden itu turut menjadi pilihan pasangan, Wan Nur Rashidah Wan Zulkifli, 36, dan Mohd Hishamudin Mohd Adzhari untuk menghiasi rumah yang disewa mereka di Puchong, Selangor.

Menurut Wan Nur Rashidah, rumah jenis 'town house' satu setengah tingkat itu berkeluasan 1,500 kaki persegi.

Di tingkat bawah terletak dapur dan ruang tamu manakala di bahagian atas terdapat tiga bilik untuk mereka serta dua anak lelaki yang masing-masing berusia sembilan dan 12 tahun.

"Ketika pertama kali melihat rumah ini, kami sekeluarga terus jatuh cinta dengan rekaannya.

"Diam tak diam, sudah tujuh tahun kami menyewa di sini dan bersyukur kerana pemilknya sangat baik serta membenarkan kami menghias mengikut cita rasa sendiri asalkan rumah terjaga rapi," katanya.

KEMAS dan selesa, ruang keluarga yang dihias secara minimalis.
KEMAS dan selesa, ruang keluarga yang dihias secara minimalis.

RUANG makan seisi keluarga.
RUANG makan seisi keluarga.

Tambah Wan Nur Rasyidah, dalam menghias rumah, dia dan suami tidak menggunakan khidmat pereka dalaman sebaliknya selesa dengan kombinasi idea serta kreativiti mereka sendiri.

Katanya, dia dan suami gemarkan ruang yang lapang justeru mereka tidak membeli perabot terlalu banyak.

"Kami memilih perabot yang praktikal dan ringkas dengan hiasan sepohon pokok tiruan bagi menampakkan ruang rumah yang lebih luas

"Ini kerana rumah yang lapang dan luas bukan sahaja tampak kemas, malah menenangkan fikiran serta selesa untuk didiami," katanya.

Menurut Wan Nur Rashidah, dia menggemari perabot rona putih kerana ia lebih mudah dijaga dan tidak mudah menampakkan habuk berbanding rona gelap atau terang.

Disebabkan itu, kebanyakan perabot rumahnya berwarna putih kecuali sofa di bahagian ruang tamu.

RUANG yang ada dimanfaatkan dengan dekorasi kerusi dan meja sisi.
RUANG yang ada dimanfaatkan dengan dekorasi kerusi dan meja sisi.

POKOK hiasan penyeri ruang tamu.
POKOK hiasan penyeri ruang tamu.

BILIK belajar untuk si kecil yang kemas dan tersusun.
BILIK belajar untuk si kecil yang kemas dan tersusun.

Dalam menjaga kekemasan rumah pula, Wan Nur Rashidah berkata, dia turut menitik beratkan disiplin kepada dua anak lelakinya.

Katanya, sejak kecil mereka diajar tidak menyepahkan barang dan bermain di bilik yang disediakan.

"Rak untuk buku sekolah mereka juga disediakan mengikut seksyen yang tersendiri supaya tampak kemas dan tidak bersepah.

"Ini kerana saya sendiri dibesarkan dengan didikan 'setiap barang ada tempat atau kotak penyimpanannya' dan Alhamdulillah, mereka akan mengemas permainan sebaik sahaja selesai bermain.

"Rumahku adalah syurgaku, jadi terpulang kepada kita bagaimana untuk menentukan keadaannya sama ada mahu selesa atau sebaliknya," katanya.

Sementara itu, pasangan berkenaan menggemari rekaan rumah jenis 'town house' kerana turut membeli rumah jenis itu untuk diduduki tidak lama lagi.

"Mungkin jodoh kami dengan rumah jenis 'town house' ini panjang dan Allah memberi rezeki untuk kami membeli rumah sendiri yang terletak di Bangi.

"Rekaannya hampir sama dengan rumah yang diduduki sekarang dan jika tiada aral, kami akan mendapat kunci dan berpindah tidak lama lagi.

"Apa yang pasti, konsep minimalis hitam putih tetap menjadi pilihan dalam mendekorasi rumah baharu itu nanti," katanya.

HIASAN dapur turut menggunakan konsep hitam putih dan rona pastel.
HIASAN dapur turut menggunakan konsep hitam putih dan rona pastel.

KAMAR beradu anak lelaki berkonsepkan haiwan comel dalam rona hitam putih.
KAMAR beradu anak lelaki berkonsepkan haiwan comel dalam rona hitam putih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 7:00 AM