TNB terus mengimbangi pengurusan kewangan yang berhemat dan usaha berterusan bagi menambah baik rangkaian bekalan elektrik.
TNB terus mengimbangi pengurusan kewangan yang berhemat dan usaha berterusan bagi menambah baik rangkaian bekalan elektrik.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) komited untuk membantu usaha kerajaan bagi menangani kesan krisis pandemik Covid-19 dan akan berterusan memberi sokongan dan kerjasama bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara berfokus kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

"Kesan positif daripada empat aspek tumpuan ini menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan wabak Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.

"Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu, TNB menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

"Ia bagaimanapun, tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada sembilan juta pelanggan. Pasukan operasi terus kekal menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko, didorong matlamat kami untuk memastikan bekalan elektrik kukuh dan stabil bagi menyinari dan menceriakan kehidupan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga aktif mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan TNB mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis TNB sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara.

"Usaha ini melengkapi inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital," katanya.

Menurutnya, sebagai organisasi yang mempunyai niai-nilai teras termasuk Profesionalisme dan Prihatin, TNB terus mengimbangi pengurusan kewangan yang berhemat dan usaha berterusan bagi menambah baik rangkaian bekalan elektriknya dengan peranannya sebagai warga korporat bertanggungjawab melalui pemberian bantuan kepada golongan dari sektor ekonomi yang terkesan dan membantu rakyat khususnya golongan B40.

Katanya, TNB akan memperluas bantuan kepada golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

Sejak Januari lalu, TNB secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan di mana ia beroperasi di seluruh negara.

"Pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir tujuh juta pelanggan domestik dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.

"Selain itu, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelanggan dari enam sektor terpilih di bawah pakej Pemerkasa dilanjutkan sehingga akhir September depan.

"Kami juga berperanan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan ini akan menjadi lebih ketara dalam fasa akhir Pelan Pemulihan Negara.

"Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional. Usaha ini disokong oleh program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula bagi menyokong pewujudan peluang pekerjaan baharu dalam industri," katanya.

Sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:00 AM