GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan memastikan bekalan elektrik di pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin mesti disimpan pada suhu -70 darjah celsius.

"Perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah dilakukan dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama membabitkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi PSV.

"TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua PSV dan PPV," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baharin berkata, TNB turut merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya Normal Off Point (NOP), Automated Transfer Scheme (ATS) dan Remote Terminal Unit (RTU).

"Bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja penyelenggaraan 'condition-based maintenance' (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke PSV sudah dilaksanakan.

"TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set jana kuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan," katanya.

Katanya, pasukan teknikal TNB sentiasa bersiap sedia dan set jana kuasa bergerak akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil jika berlaku gangguan bekalan di PSV.

Beliau berkata, TNB turut menyediakan dua talian khas kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Beliau memohon kerjasama kontraktor yang melakukan kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB untuk menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan.

Orang ramai yang menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan boleh menghubungi talian TNB CareLine 15454.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 1:11 PM