PASUKAN Teknikal TNB membuat kerja senggaran awal untuk memastikan bekalan stabil dan dapat dipulihkan dalam tempoh minimum sekiranya  berlaku sebarang gangguan. FOTO IHSAN TNB
PASUKAN Teknikal TNB membuat kerja senggaran awal untuk memastikan bekalan stabil dan dapat dipulihkan dalam tempoh minimum sekiranya berlaku sebarang gangguan. FOTO IHSAN TNB
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Bekalan elektrik di semua 40 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 400 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) 24 Februari lalu.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, ia berikutan usaha senggaraan awal dilakukan oleh TNB di PSV dan PPV dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak hospital serta klinik kesihatan.

"Kami mendapat kerjasama dan sokongan yang begitu baik daripada KKM, hospital dan klinik

kerajaan yang berkaitan.

"Di setiap pusat, kami menempatkan pasukan teknikal bagi membuat kerja senggaraan awal untuk memastikan bekalan adalah stabil dan jika berlaku gangguan, ia dapat dipulihkan dalam tempoh minimum," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Wan Nazmy, kerja senggaraan membabitkan pencawang dan pembekalan elektrik ke pusat penyimpanan vaksin yang dilakukan sejak awal Februari adalah antara aspek kritikal bagi menjayakan PICK.

Katanya, TNB dengan kerjasama pihak hospital dan klinik kesihatan juga memastikan set janakuasa di pusat perubatan terbabit berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

"Pasukan kami sentiasa membuat rondaan di semua PSV dan PPV di Semenanjung dan akan segera ke pusat yang berlaku gangguan bekalan bagi membantu memulihkan bekalan secepat mungkin.

"Set jana kuasa bergerak TNB juga bersedia untuk digerakkan serta-merta ke lokasi PSV dan PPV bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil.

"Selain penyelenggaraan aset dan ketersediaan pasukan teknikal, TNB turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan," katanya.

#kw TNB, PSV, PPV, vaksin, elektrik, stabil

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 4:10 PM