GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Seramai 82 peratus daripada 35,000 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah lengkap suntikan kedua vaksin Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din berkata, angka itu dicapai hasil kesedaran yang tinggi untuk bersama-sama negara dan rakyat membendung penularan pandemik ini.

Menurutnya, vaksinasi menyeluruh menjadi keutamaan syarikat utiliti berkenaan kerana sebahagian besar kakitangan perlu berada di lapangan seluruh rantaian tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan demi keselesaan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Operasi TNB adalah perkhidmatan perlu dalam usaha negara memerangi Covid-19 khususnya memastikan bekalan elektrik kekal stabil di lokasi strategik termasuk hospital, pusat kesihatan, pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin.

"TNB juga melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin anggota kerjanya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya,TNB juga berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan kakitangan yang bertugas di barisan hadapan mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.

"Kempen dalaman ini berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja TNB.

"Mereka mendaftar secara sukarela kerana wujud kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan Covid-19 pada diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan," katanya.

Tambahnya, syarikat utiliti elektrik negara itu juga menubuhkan pasukan bertindak khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi kakitangan.

Katanya, TNB mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jawatankuasa CITF yang membantu pasukan bertindak ini mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:42 AM