PENGERUSI TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai penggunaan dron oleh bahagian Rangkaian Pembahagian TNB semasa Hari Terbuka Vendor TNB di Bangsar, April lalu.
PENGERUSI TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai penggunaan dron oleh bahagian Rangkaian Pembahagian TNB semasa Hari Terbuka Vendor TNB di Bangsar, April lalu.
Oleh Suliati Asri

Sejak lebih 71 tahun penubuhannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah sinonim dengan bekalan elektrik.

Petik sahaja suis, lampu dan peralatan elektrik terus berfungsi hasil penyampaian bekalan elektrik yang kukuh dan stabil.

Bekalan elektrik juga tulang belakang kepada kemajuan negara kerana pelbagai usaha pemodenan negara mampu dicapai melalui bekalan elektrik yang berdaya harap.

Justeru, usaha TNB menyokong pertumbuhan negara tidak terhenti sekadar melalui penyediaan bekalan elektrik sahaja.

Pelbagai inisiatif turut diambil TNB bagi meningkatkan keupayaan dan daya harap bekalan elektrik negara sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Amanah syarikat utiliti bagi memacu kemajuan negara turut dizahirkan melalui usaha pembangunan vendor tempatan yang secara tidak langsung mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Di bawah Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) 2018-2020, sebanyak RM7.4 bilion nilai kontrak sudah dianugerahkan sepanjang tempoh itu termasuk RM6.9 bilion dianugerahkan di bawah Program Pembangunan Vendor.

Selain membuka peluang perniagaan, TNB turut menyokong pertumbuhan vendor tempatan menerusi program Vendor Upskilling yang diadakan khusus bagi meningkatkan kompetensi serta keupayaan teknikal mereka.

Exco Penerangan dan Kewangan Persatuan Rakan Niaga Strategik Malaysia (Pernisma) Ismail Mohamed Isa berkata, TNB sentiasa progresif memberi peluang kepada vendor tempatan menyertai pasaran berkaitan industri tenaga negara.

"Sejak dahulu lagi, TNB sentiasa membuka peluang kepada vendor tempatan.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dirancang TNB bagi merealisasikan matlamat peralihan tenaga, saya yakin peluang akan sentiasa terbuka bagi vendor tempatan terbabit sama," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, sejak empat tahun lalu, TNB sudah memperuntukkan purata RM8 bilion setahun untuk pengagihan projek berkaitan pembekalan elektrik.

"Oleh itu, TNB akan terus menyokong peningkatan penyertaan vendor ini pada masa akan datang.

"Kita juga akan pastikan supaya pembabitan vendor tempatan bukan hanya pada produk asas tetapi juga produk yang mempunyai nilai tambah.

"Asalkan mereka (vendor tempatan) berkeupayaan, berkemampuan dan memenuhi keperluan, kita akan sokong," katanya.

   

Peluang dalam landskap tenaga baharu

   

TNB kini rancak mengorak langkah menjadi peneraju peralihan industri tenaga daripada penjanaan berasaskan bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu.

Namun, perubahan kepada sumber tenaga yang lebih mampan ini memerlukan revolusi sistem pembekalan elektrik untuk menampung perubahan ekosistem tenaga.

Evolusi yang dilalui TNB ini banyak berunsurkan teknologi pintar yang meliputi seluruh rangkaian perkhidmatan merangkumi sumber tenaga, penghantaran dan pembahagian.

Antara inisiatif yang terkandung ialah pemasangan meter pintar yang membolehkan penggunaan elektrik diketahui secara harian dan mempunyai keupayaan untuk menyediakan ciri nilai tambah pada masa hadapan kepada pengguna.

Menurut Baharin, terdapat pelbagai inisiatif lain dilaksanakan TNB yang dapat menyumbang kepada kegiatan ekonomi untuk dikongsi dan dinikmati pembekalnya selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 melalui Dasar Keusahawanan Nasional.

"Ia merangkumi pembangunan teknologi grid pintar dengan ciri Internet of Things dalam usaha merevolusikan rangkaian bekalan elektrik seperti projek pemetaan Geographic Information System (GIS) yang menyaksikan 25 syarikat dibangunkan dengan keupayaan teknologi pemetaan data untuk aset-aset TNB," katanya.

Sementara itu, projek penggantian lampu awam dengan lampu LED memberi peluang kepada pembekal dan pengilang tempatan untuk tampil dengan produk berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pestech International Berhad Ir Paul Lim berkata, sebagai vendor, pihaknya mengalu-alukan usaha TNB membabitkan vendor tempatan dalam usaha pemodenan sistem bekalan elektrik yang sedang dilaksanakan mereka.

"Kami sudah bekerjasama dengan TNB sejak tahun 2000 lagi melalui perbekalan dalam bidang Rangkaian Pembahagian, meter pintar dan switchgear.

"Usaha pemodenan yang dilakukan TNB ini memberi peluang secara tidak langsung untuk vendor tempatan meneroka bidang perbekalan dan pembuatan berasaskan teknologi terkini," katanya.

   

Bersama memulihkan ekonomi negara

   

Malaysia menempuhi tahun 2020 dengan cabaran persekitaran operasi global dan tempatan yang menyaksikan ekonomi menguncup 5.6 peratus.

Ia angka terendah sejak kegawatan ekonomi pada 1998 iaitu (-7.4 peratus), disebabkan pandemik Covid-19.

Menurut laporan Bank Negara, ekonomi Malaysia dijangka pulih antara 6 hingga 7.5 peratus pada 2021 berikutan pemulihan terhadap permintaan global dan aktiviti ekonomi tempatan yang beransur pulih.

Wakil syarikat ABB Malaysia Sdn Bhd iaitu syarikat penyedia pelbagai solusi berasaskan elektrik, Putri Rosshilawati Abdul Latip berkata, sokongan TNB terhadap vendor tempatan mencerminkan usaha menyeluruh semua pihak untuk memulihkan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

"Usaha merancakkan ekonomi ketika ini sangat perlu bagi memastikan rakyat tidak dibebankan dengan impak pandemik Covid-19.

"Inisiatif yang diambil TNB ini sangat bertepatan kerana ia membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Bagi memastikan vendor TNB mendapat pendedahan dan penerangan terkini mengenai hala tuju dan peluang perniagaan ekonomi baharu, TNB menganjurkan Hari Terbuka Vendor TNB di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, April lalu.

Lebih 150 syarikat vendor hadir bagi mengetahui potensi perniagaan terutamanya berkaitan pembangunan Grid Masa Hadapan merangkumi inisiatif Pemodenan Rangkaian Pembahagian dan Pendigitalan Grid.

Wakil syarikat pembekal lampu LED, Madetill (M) Sdn Bhd, Muklisyah Haron berkata, program sebegitu sangat membantu pihaknya terutamanya vendor baharu kerana banyak maklumat terkini berkaitan bisnes dan hala tuju TNB dikongsikan.

"Maklumat terkini bisnes TNB amat penting bagi vendor yang ingin meneroka bidang pembuatan atau pembekalan yang diperlukan oleh industri tenaga. Hal ini secara tidak langsung dapat menyokong pertumbuhan vendor tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:01 AM