Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kewujudan lebih banyak litar perlumbaan di Malaysia sangat penting bukan sahaja bagi memartabatkan sukan permotoran negara malah sebagai medium memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, demikian tegas legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid.

Wazi berkata, pertambahan litar lumba diyakini dapat mengurangkan isu sosial seperti samseng jalanan atau 'mat rempit' apabila kewujudannya dapat mendedahkan terhadap aktiviti perlumbaan dengan cara betul dan selamat.

"Bagi saya, keperluan kepada pertambahan litar sekarang sudah sampai tahap 'zon merah'. Macam mana kita hendak dedahkan masyarakat kepada keselamatan (jalanraya) apabila bila infrastruktur kita pun tiada (kurang)?

"Ramai 'pihak atasan' tidak melihatkan keperluan ini, terutama apabila adanya pihak yang skeptikal berpandangan litar sekadar tempat untuk berlumba.

"Kadangkala sampaikan kita pula yang kena 'menyembah' untuk pergi minta menyewa tempat bagi mengadakan program berkaitan sukan permotoran sedangkan melalui platform sukan sebeginilah yang pernah melahirkan juara dunia mewakili Malaysia," katanya dalam sidang media Program Myfit @ Motorsports Klass Cub Prix KBS 2022 peringkat Perak di Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri Perak itu menyaksikan penyertaan kira-kira 40 peserta berumur antara 13 hingga 20 tahun bagi mencari bakat baharu dalam sukan lumba motosikal.

Wazi berkata demikian sewaktu ditanya pemberita mengenai keperluan menambah bilangan litar tetap rasmi perlumbaan Cub Prix di Malaysia yang setakat ini difahamkan hanya mempunyai tiga litar tetap iaitu Litar Antarabangsa Sepang, Litar Tangkak dan Litar Permotoran Terengganu.

Katanya, selepas 'bersara' dari sukan permotoran pada 2007, beliau banyak terbabit dalam program keselamatan jalan raya saya termasuk dalam pembinaan sukatan kurikulum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain terbabit sama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaa Trafik (JSPT) Bukit Aman, serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Bila kita buat kajian keselamatan (jalanraya), kita dapati sebanyak 68 peratus daripada purata kira-kira 6,000 kemalangan dalam setahun, adalah disebabkan faktor kemahiran.

"Sebenarnya litar lumba, bila difikirkan tentang keselamatan, ia adalah sangat perlu ditambah buka sekadar untuk sukan perlumbaan sahaja. Jadi, dengan adanya litar ia bukan sahaja dapat memperkasakan sukan permotoran namun turut memperkasakan aspek keselamatan jalanraya.

"Tambahan, kita pun sudah letih dan jemu apabila bercakap mengenai usaha membasmi mat rempit dan lumba haram yang seperti tidak berkesudahan walaupun operasi membanteras kegiatan itu sering dibuat pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 7:38 PM
WAZI (kanan) memberi taklimat pada kursus Misi Mencari Bakat Sukan Lumba Motosikal di Program Myfit @Motorsports2022 Klass Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran
WAZI (kanan) memberi taklimat pada kursus Misi Mencari Bakat Sukan Lumba Motosikal di Program Myfit @Motorsports2022 Klass Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran