KALENDAR perlumbaan Cub Prix musim 2022. -FOTO Safe Aim Mutual
KALENDAR perlumbaan Cub Prix musim 2022. -FOTO Safe Aim Mutual
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas mengekalkan 10 pusingan perlumbaan bagi musim 2022 dengan saingan akan membuka tirai di Litar Utara Sepang pada 12 dan 13 Mac tahun depan.

Seperti dua musim terakhir sebelum ini, kejohanan lumba motosikal terbesar negara itu akan tertumpu di tiga litar tetap iaitu Litar Antarabangsa Sepang, Litar Tangkak dan Litar Permotoran Terengganu.

Menurut Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg, berdasarkan persetujuan dengan semua pihak yang berkaitan, Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas akan lebih mengutamakan penganjuran perlumbaan di litar tetap.

"Ada kemungkinan kami akan menganjurkan beberapa perlumbaan di dalam litar sementara seperti dahulu. Namun demikian, litar tetap akan lebih diutamakan untuk menaikkan taraf sukan permotoran Malaysia.

"Kami berharap akan ada lebih banyak fasiliti, infrastruktur sukan permotoran dan litar akan dibina dalam negara ini. Kemudahan-kemudahan ini banyak membantu dalam usaha meningkatkan daya saing sukan permotoran negara."  

"Bagi pihak penganjur, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menyempurnakan saingan musim 2021.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kejuaraan (terutamanya kepada Petronas, penaja utama Kejohanan Malaysian Cub Prix) serta semua pasukan, pelumba dan agensi-agensi kerajaan yang turut menjayakan musim 2021 yang mencabar ini," katanya.

Perlumbaan musim 2021 menyaksikan pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kelas CP150 manakala Mohd Adib Rosley dari Iphone Yamaha YY Pang Racing Team mengungguli kategori CP125 dan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing Mohd Aqil Danial Nasrul juara kategori Wira KBS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 2:20 PM