Aksi Zaqhwan Zaidi ketika perlumbaan
Aksi Zaqhwan Zaidi ketika perlumbaan
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas pelumba negara, Wazi Abdul Hamid berkata pelumba negara yang mengharumkan nama Malaysia dengan meraih kejayaan di pentas antarabangsa sewajarnya boleh diberikan pengiktirafan termasuk mendapat gelaran Datuk.

Jelas beliau, ia jauh lebih baik berbanding memberikan pengiktirafan berkenaan kepada artis, pelakon atau mereka yang tidak selayaknya.

Wazi berkata demikian ketika mengulas pencapaian pelumba ASB1000 negara, Zaqhwan Zaidi yang memenangi Perlumbaan 1 Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, semalam.

"Tahniah Zaqhwan Zaidi dalam Kejuaraan Motosikal Asia di Thailand. Ramai pelumba berjaya mengharumkan nama dan menyatukan semangat Keluarga Malaysia...pasal (ada) rider melayu, krew cina dan india.

"Patut 'rider-rider' macam ini le dapat tittle (gelaran) PJK (Pingat Jasa Kebaktian) atau Datuk, daripada retis (artis) atau pelakon atau kaki rasuah atau samseng kampung.

"Teruskan usaha anda (Zaqhwan)," katanya di akaun media sosial miliknya.

Semalam, Zaqhwan melintasi garisan penamat mengatasi pencabarnya dari pasukan Yamaha Thailand Racing Team, Anupab Sarmoon yang meraih penamat kedua manakala pelumba Jepun, Haruki N oguchi (SDG Motor Sports Harc-Pro Ph), ketiga.

Pada Perlumbaan 2 hari ini, Zaqhwan meraih podium kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 6:10 PM