WAZI melawat jenazah pelumba cub prix, Md Hafiz Nor Azman di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai. FOTO/ABDULLAH YUSOF
WAZI melawat jenazah pelumba cub prix, Md Hafiz Nor Azman di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Shaarani Ismail


IPOH: Sebarang insiden meragukan hingga mengakibatkan kematian ketika perlumbaan motosikal perlu disiasat dan diteliti supaya tidak berulang.

Bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid, berkata berdasarkan pengalamannya, sebarang insiden yang berlaku dalam perlumbaan perlukan kajian menyeluruh.

"Kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi melihat bagaimana tragedi itu berlaku dan membabitkan semua pihak. Bukan hanya sekadar penganjur tetapi semua pelumba supaya tidak lagi berlaku lagi pada masa akan datang selain membabitkan pakar dalam bidang berkenaan" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi jenazah pelumba cub prix, Hafiz Nor Azman, 22, yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Dataran Bandar Penawar, semalam.

Wazi berkata, pihaknya turut merasakan ada beberapa perkara yang tidak kena berlaku dalam insiden itu dan perlu diberikan penjelasan.

"Kalau berlaku disebabkan kecuaian ia sesuatu yang tidak adil, tetapi boleh diperhalusi dengan mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk teliti insiden itu,” katanya.

Dalam pada itu, Wazi turut menyifatkan kematian Hafiz sebagai satu kehilangan besar dalam arena perlumbaan motosikal negara.

"Hafiz adalah permata sangat bernilai dan saya sudah mengenalinya sejak dia kecil dan dia berkawan rapat dengan anak saya.

"Kita bukan hanya kehilangan bintang muda di peringkat nasional tetapi turut kehilangan seorang juara lumba motosikal yang mewakili Perak dan Lembah Kinta yang banyak membantu menaikkan sukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 1:45 PM