MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyaksikan perlumbaan Petronas Cub Prix pusingan pertama ketika perasmian Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke 25 Kejuaraan Cub Prix dan Perasmian Litar Tangkak di Tangkak Racing Track, Gersik. - Foto Adi Safri
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyaksikan perlumbaan Petronas Cub Prix pusingan pertama ketika perasmian Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke 25 Kejuaraan Cub Prix dan Perasmian Litar Tangkak di Tangkak Racing Track, Gersik. - Foto Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan semua negeri di negara ini memiliki sekurang-kurangnya sebuah litar perlumbaan bagi memperkasakan sukan permotoran di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ia adalah antara usaha pihaknya untuk memastikan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang setiap negeri akan mempunyai kemudahan sukan berkenaan.

Katanya, sebuah litar baharu akan dibina di Jengka dalam tempoh terdekat dengan jarak sepanjang 2.24 kilometer dan memiliki kapasiti 2,000 penonton, diharapkan dapat merancakkan industri sukan pemotoran negara kelak.

“Dengan adanya litar lumba di Tangkak dan di Jengka nanti, kita akan dapat melihat dengan lebih banyak lagi litar perlumbaan khususnya Cub Prix Malaysia.

“Hari ini kita ada litar Pasir Gudang yang sedang dinaik taraf. Kita ada litar Gong Badak di Terengganu, ada litar Speedway Elite, ada litar Air Keroh, litar UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis), litar Sepang dan tak lama nanti akan ada litar di Sungai Petani dan di Pahang.

“Negeri mana yang belum ada litar (perlumbaan) lagi, datang jumpa saya. Kita akan bina litar untuk anak muda Malaysia,” katanya pada majlis perasmian Tangkak Racing Track dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 25 tahun di Litar Lumba Tangkak di Gersik di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed serta Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Litar Lumba Tangkak yang bernilai RM14.4 juta dengan jarak perlumbaan sejauh 1.2 kilometer, adalah litar pertama dibina oleh KBS.

Sukan permotoran negara dijangka terus rancak apabila Kerajaan Terengganu turut mengumumkan sebuah kompleks sukan bermotor akan dibina di Dungun.

Khairy berkata, pada tahun ini juga pihaknya turut meraikan sambutan ke-25 Cub Prix Malaysia yang juga menjadi tempat melahirkan jaguh sukan permotoran di negara ini.

“Cub Prix Malaysia inilah yang melahirkan sebahagian besar juara kita. Di sini juga kita mencungkil bakat muda dan di sini juga kita mengasuh bakat baharu yang akan menjulang dan mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

“Saya percaya dan yakin anak muda yang terbabit dalam Cub Prix Malaysia satu hari nanti akan mengambil alih tempat jaguh seperti Hafiz Syahrin Abdullah dan MotoGP selain nama-nama besar seperti Shahrol Yuzi Ahmad Zaini, Zulfahmi Khairuddin dan Khairul Idham Pawi,” katanya.

Khairy berharap semua jaguh negara ini akan menjadi contoh kepada anak-anak muda yang ingin menjadi perlumba sukan permotoran ini dan bukannya beraksi di jalanan.

“Justeru itu, saya akan pastikan selagi ada keinginan berlumba, tidak ada alasan lagi untuk tidak ada litar perlumbaan.

“Saya tak nak dengar alasan tak ada tempat untuk berlumba. Itu saya akan pastikan segala perancangan dapat kita laksanakan untuk ada sekurang-kurangnya satu litar perlumbaan di setiap negeri.

“Kita berharap Malaysia juga akan dikenali sebagai hab sukan permotoran di Asia Tenggara suatu hari nanti dan juga di peringkat Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:55 PM