LANGER bakal buat penampilan terakhir di Masters, April depan. FOTO REUTERS
LANGER bakal buat penampilan terakhir di Masters, April depan. FOTO REUTERS
Reuters

Augusta, Georgia: Juara dua kali, Bernhard Langer bakal membuat penampilan terakhirnya dalam kejohanan golf Masters pada April ini, umum pemain Jerman itu dalam temu bual bersama Golf Channel.

Langer, 66, gagal mencapai skor yang memenuhi syarat untuk bermain pada tiga kejohanan Masters sebelum ini, membuat pengumuman itu di Hawaii, sebelum berlangsung Juara Jelajah PGA, minggu ini.

"Saya sudah membuat keputusan, ia bakal menjadi Masters terakhir saya tahun ini dan mungkin Terbuka Amerika Syarikat (AS) terakhir saya, kecuali jika terjadi keajaiban," katanya.

Langer membuat 40 penampilan Masters dan dua kejayaannya di Kelab Golf Kebangsaan Augusta menyerlahkan kariernya menerusi Dewan Kemasyhuran Golf Dunia yang merangkumi 10 kejayaan pasukan Piala Ryder Eropah dan lebih daripada 60 kemenangan di seluruh dunia.

"Ini memang menarik. Pada masa sama, saya sedar akan menggunakan iron-3 untuk menjangkau green berbanding pemain lain yang menggunakan iron-9 yang lebih pendek.

"Pasti sukar, tetapi itu adalah satu cabaran buat saya dan biasanya saya tidak mengelak daripada menghadapi cabaran seperti itu," katanya.

Langer memenangi Jaket Hijau pertamanya pada 1985 apabila bangkit daripada ketinggalan empat pukulan pada pusingan terakhir dan melakukan empat pukulan birdie daripada tujuh lubang terakhir menewaskan Curtis Strange, Seve Ballesteros dan Raymond Floyd dengan dua pukulan.

Dia meraih kemenangan kedua lapan tahun kemudian semasa mencapai pukulan eagle pada lubang ke-13 dan dengan mudah meneruskan permainannya untuk meraih kemenangan empat pukulan menewaskan Chip Beck.

Kejohanan Masters tahun ini akan berlangsung dari 11 hingga 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 11:16 AM