BERNHARD Langer. FOTO Reuters
BERNHARD Langer. FOTO Reuters
Reuters

Florida: Bernhard Langer yang juga pendahulu dalam siri Jelajah PGA terpaksa menarik diri menyertai Kejohanan Masters April ini selepas mengalami kecederaan tumit ketika sesi latihan di Boca Raton.

Katanya, pembedahan kecil terpaksa dilakukan dan situasi itu menyebabkan dirinya terpaksa berehat seketika daripada menyertai mana-mana kejohanan tahun ini.

"Saya menghargai sokongan semua orang pada masa ini dan saya tidak sabar untuk kembali beraksi bersama pencabar lain selepas kecederaan saya ini pulih nanti," katanya.

Langer membuat 40 penampilan Masters dan dua kejayaannya di Kelab Golf Kebangsaan Augusta menyerlahkan kariernya menerusi Dewan Kemasyhuran Golf Dunia yang merangkumi 10 kejayaan pasukan Piala Ryder Eropah dan lebih daripada 60 kemenangan di seluruh dunia.

Langer memenangi Jaket Hijau pertamanya pada 1985 apabila bangkit daripada ketinggalan empat pukulan pada pusingan terakhir dan melakukan empat pukulan birdie daripada tujuh lubang terakhir menewaskan Curtis Strange, Seve Ballesteros dan Raymond Floyd dengan dua pukulan.

Dia meraih kemenangan kedua lapan tahun kemudian semasa mencapai pukulan eagle pada lubang ke-13 dan dengan mudah meneruskan permainannya untuk meraih kemenangan empat pukulan menewaskan Chip Beck.

Kejohanan Masters tahun ini akan berlangsung dari 11 hingga 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 11:23 AM