TIGER Woods (tengah) bersama Fred Couples (kiri) dan Justin Thomas melakukan tee off pada lubang ke-16. FOTO Reuters
TIGER Woods (tengah) bersama Fred Couples (kiri) dan Justin Thomas melakukan tee off pada lubang ke-16. FOTO Reuters
Reuters

Augusta: Juara lima kali, Tiger Woods menumpukan kepada pukulan penyudah sebagai persediaan bersaingan di Kejohanan Golf Masters, minggu ini, ketika bermain sembilan lubang terakhir di Kelab Golf Augusta National, semalam.

Woods yang berdepan ancaman terpaksa bersara akibat kecederaan kaki dalam kemalangan kereta pada Februari 2021, hadir lebih awal dan bermain bersama juara Masters 1992, Fred Couples dan pemain nombor tujuh dunia, Justin Thomas.

Senario itu seolah-olah pusingan akhir kejohanan dan bukannya latihan persediaan apabila penonton memenuhi kawasan tee off hingga green untuk menyokong Woods, yang berdepan nasib mungkin tidak boleh bertanding lagi, 14 bulan lalu.

Pada par 3 di lubang ke-16, trio itu menghiburkan penonton apabila memukul bola dengan pelbagai gaya untuk melepasi kolam ke green.

Couples yang berjaya memukul bola terus ke green, berkata Woods memukul bola dengan bertenaga dan dilihat lebih tajam berbanding minggu lalu.

"Tiger tetap Tiger. Isnin lalu, saya mengatakan dia tidak seperti kami selepas mengalami kecederaan walaupun pada usia 35 tahun dan saya hanya mahu bermain," kata Couples.

"Tetapi, dia tidak mahu berbuat demikian. Dia sudah menang banyak kali dan bukan jenis yang mahu melakukan perkara biasa, dia mahu bersaing dan sudah bersedia."

Woods, 46, tiba di Augusta National pada Ahad lalu dan bermain sembilan lubang akhir dalam usaha membuat keputusan sama ada kembali beraksi atau tidak selepas kecederaan.

Isnin lalu pula, dia bermain sembilan lubang awal bersama Couples dan Thomas.

Jika berjaya menang Ahad ini, Woods muncul juara Masters paling tua iaitu tiga minggu mengatasi juara acara major 18 kali, Jack Nicklaus, yang mencipta rekod enam Jaket Hijau pada 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 1:38 PM