THOMAS ketika beraksi bersama Ineos di Tour de France. -FOTO AFP
THOMAS ketika beraksi bersama Ineos di Tour de France. -FOTO AFP
AFP

Milan: Geraint Thomas menegaskan bahawa dia bersama pasukan Ineos Grenadiersnya sudah bersedia untuk menjulang gelaran Giro d'Italia yang mana laluan edisi kali ini lebih memihak kepadanya berbanding tahun lalu.

Naib juara Giro 2023, Thomas mendahului perlumbaan sehingga peringkat ujian masa bukit pada hari ke-20 di mana dia dipintas pada saat terakhir oleh juara, Primoz Roglic.

Mengakui ia amat memeritkan, Thomas kembali ke perlumbaan selama 21 hari itu yang akan bermula Sabtu ini.

"Tiada peringkat ujian masa bukit yang bodoh tahun ini," kata bekas juara Tour de France berusia 37 tahun itu.

"Mudah-mudahan saya dapat memperoleh sedikit kelebihan dalam ujian masa," katanya.

Thomas berkata, dia gembira memulakan perlumbaan yang membabitkan laluan sejauh 3,400km sebagai pilihan kedua, di belakang pelumba bintang, Tadej Pogacar.

"Pogacar masih belum memenangi perlumbaan ini lagi dan ia mengurangkan tekanan kami bahawa dia akan menjadi pilihan di sana ketika kami tidak dijangka akan menang.

"Tetapi ia adalah tugas besar untuk saya dan pasukan. Dia antara yang terhebat. Kami akan menyahut cabaran. Ia adalah Giro dan banyak yang boleh menjadi baik atau buruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 8:41 AM