MOLINARI memukul bola keluar dari bunker pada lubang ke-18 Augusta National. — FOTO EPA
MOLINARI memukul bola keluar dari bunker pada lubang ke-18 Augusta National. — FOTO EPA
AFP

FRANCESCO Molinari merakam enam bawah par 66 awal pagi tadi, mendahului dua pukulan di depan Tiger Woods dan Tony Finau pada pusingan ketiga Masters AS yang menarik di Augusta National.

Pemain dari Itali itu yang juga juara Terbuka British, kekal bersabar sepanjang lima lubang pertama dengan par ketika birdie mudah dibenam di mana-mana di Augusta yang mengalami hujan.

Selepas birdie pada lubang keenam dan kelapan, dia bangkit dengan empat birdie berturut-turut bermula lubang ke-12 par-tiga – yang mana pukulan teenya singgah beberapa sentimeter saja dari pin.

Secara turutan dia melakukan putt dari jarak enam, lapan dan sembilan kaki untuk birdie pada tiga lubang berikutnya – dan mengekalkan kelebihan dua pukulan apabila melakukan par dari bunker pada lubang ke-18.

WOODS memberikan cabaran menjelang pusingan akhir apabila ketinggalan hanya dua pukulan. — FOTO AFP
WOODS memberikan cabaran menjelang pusingan akhir apabila ketinggalan hanya dua pukulan. — FOTO AFP

Molinari, seorang daripada lima pemenang gelaran utama yang berkongsi pendahulu selepas pusingan kedua, mengumpul 13 bawah par 203.

“Rancangan saya adalah keluar ke sana dan melakukan perkara sama, tapi saya fikir ada beberapa pemain akan cuba merosakkan rancangan saya,” katanya.

Woods, yang menjuarai Masters kali terakhir pada 2005 dan tidak menokok 14 gelaran utamanya sejak kejayaan Terbuka AS 2008, mencatat lima bawah par 67 bagi 11 bawah par 205 keseluruhan.

Dia disertai Finau, yang merakam 64 – satu pukulan kurang daripada rekod kejohanan dan disamai oleh dua lagi pemain Webb Simpson dan Patrick Cantlay dengan lapan bawah par.

“Saya hanya melakukan sedaya mungkin,” kata Woods. “Pukulan pertama saya bagus begitu juga permainan iron. Saya melakukan beberapa putt yang ternyata membantu catatan pusingan saya hari ini.”

Permainan Woods memukau galeri di Augusta – dan mendapat perhatian Presiden AS, Donald Trump, yang pernah bermain dengannya sebelum ini.

“Permainan hebat daripada @TigerWoods (di) @Masters,” tulis Trump dalam Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:31 AM