REAKSI Woods di pusingan kedua. FOTO AFP
REAKSI Woods di pusingan kedua. FOTO AFP
Reuters

Augusta: Tidak cukup dengan pelbagai kejayaan dilakar di Augusta National di kemuncak prestasinya, Tiger Woods terus memecahkan rekod Masters dengan melepasi had kelayakan di kejohanan major itu buat kali ke-24 berturut-turut.

Woods belum pernah tercicir daripada pusingan akhir Masters sebagai pemain profesional dan kini pemain 48 tahun itu mendahului rekod sepanjang zaman di Augusta National yang sebelum ini dikongsi bersama Gary Player serta Fred Couples.

Juara lima kali Masters itu mencatat 72 pukulan untuk par di pusingan kedua dan keseluruhan satu atas par untuk mara ke dua pusingan akhir.

"Ia bermakna saya mempunyai peluang untuk bermain di hujung minggu. Saya di sini, saya berpeluang memenangi kejohanan golf," kata Woods.

Sebelum Masters, Woods hanya bermain 24 lubang dalam saingan kompetitif tahun ini kerana keadaan tahap kesihatan dan fizikalnya yang kurang baik.

Dia terpaksa mengharungi cabaran 23 lubang semalam selepas pusingan pertamanya terpaksa ditangguhkan untuk lima lubang terakhir akibat hari sudah gelap.

Kurang setengah jam selepas menamatkan baki pusingan pertama, Woods kembali ke lapangan dan mengharungi lapangan berbukit Augusta untuk mencatat par di pusingan kedua.

Kali terakhir Woods beraksi di Masters ialah pada tahun 2022 dan dia terpaksa mengharunginya dalam kesakitan akibat kemalangan kereta 14 bulan sebelumnya. Bekas pemain nombor satu dunia itu merakam pusingan 78 di dua pusingan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 9:46 AM