KEDUDUKAN Spieth terancam dengan diekori rapat tiga pemain.
KEDUDUKAN Spieth terancam dengan diekori rapat tiga pemain.
AFP

Augusta, AS: Jordan Spieth dengan mudah mengetepikan Rory McIlroy (gambar kecil) dalam pertemuan paling dinantikan semalam, namun kini berdepan ancaman tiga pemain selepas aksi hambar di lubang terakhir.

Juara bertahan berusia 22 tahun itu mendahului saingan dengan satu pukulan berbanding pemain Ireland Utara berusia 26 tahun itu pada awal saingan.

Namun aksi sengit kedua-duanya langsung tidak menjadi kenyataan dan akhirnya, Spieth mendahului lima pukulan ketika peluang McIlroy untuk menjulang Grand Slam semakin terjejas.

Bintang Amerika Syarikat itu yang bertekad muncul pemain keempat menjulang gelaran Masters AS berturut-turut, melakukan 73 pukulan untuk menamatkan saingan dengan tiga bawah par 213, mendahului tujuh pusingan kejohanan, empat daripadanya tahun lalu apabila bergelar juara kejohanan utama buat kali pertama.

Biarpun menampilkan aksi cemerlang dari pukulan tee, dia menamatkan saingan satu pukulan mengatasi pendatang baru AS Smylie Kaufman, manakala pemain terbaik Asia Hideki Matsuyama dan bintang veteran Jerman Bernhard Langer masing-masing ketinggalan satu pukulan di belakangnya.

Spieth sepatutnya beraksi lebih baik tetapi melakukan kesilapan pada lubang ke-18 untuk double bogey.

“Saya berada dalam kedudukan yang saya ingini selepas 54 lubang dan berharap dapat menyempurnakannya seperti itu, bukan seperti apa yang saya lakukan hari ini,” katanya.

Empat pendahulu itu adalah dalam kalangan 57 pemain yang berjaya melepasi cut di bawah par apabila cuaca berangin dan keadaan green mencabar mendatangkan masalah kepada ramai pemain.

Tiga pemain mencatat par adalah pemain nombor satu dunia Jason Day, pemain AS Dustin Johnson dan pemain England Danny Willett.

Ketika Spieth terus garang untuk muncul pemain keempat menjuarai Masters berturut-turut selepas Tiger Woods, Nick Faldo and Jack Nicklaus, hakikatnya Langer lebih mencuri perhatian.

Pemain berusia 58 tahun, bekas juara dua kali dan beraksi dalam Masters kali ke-33, memulakan permainan ketinggalan lima pukulan berbanding pemain AS, 36 tahun lebih muda daripadanya.

Namun ketika berdepan keadaan mencabar, Langer terus bertahan dan mencatat tiga birdie berturut-turut dari lubang ke-13 untuk terus memberi cabaran.

Double bogey enam pada lubang terakhir menjejaskan aksinya, namun dia terus berpeluang menjadi pemain tertua merangkul kejohanan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:24 AM