GUSTAVO Petro. FOTO AFP
GUSTAVO Petro. FOTO AFP
AFP

Bogota: Presiden Colombia, Gustavo Petro dalam kenyataannya, pada Rabu, memaklumkan negaranya akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan menyifatkan pemimpin Zionis itu melakukan genosid dalam perang di Gaza.

"Esok (Khamis) hubungan diplomatik dengan Israel akan terputus... kerana mempunyai presiden pembunuhan beramai-ramai," kata Petro ketika berucap dalam perhimpunan May Day di sini, merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Petro menjadi pengkritik keras terhadap serangan ke atas Gaza yang menyusuli serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas selatan Israel, pada 7 Oktober tahun lalu.

Pada Rabu, Petro memberitahu ribuan penyokong bahawa dunia tidak boleh menerima pembunuhan beramai-ramai.

"Jika Palestin mati, manusia mati," katanya disambut tepukan gemuruh daripada orang ramai, yang sebahagiannya mengibarkan sepanduk pro-Palestin.

Israel bertindak balas dengan menyifatkan Petro sebagai anti-Semitik, malah mendakwa pendirian pemimpin itu sama dengan memberikan ganjaran kepada Hamas.

"Presiden Colombia berjanji untuk memberi ganjaran kepada pembunuh dan perogol Hamas dan hari ini, dia menyampaikannya," ciap Menteri Luar Israel Katz di platform X.

Colombia menyertai Bolivia, Belize dan Afrika Selatan dalam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Sementara negara lain turut memanggil pulang diplomat mereka.

Oktober tahun lalu, beberapa hari selepas permulaan perang, Israel mengumumkan ia menghentikan 'eksport keselamatan' ke Colombia.

Serangan pada 7 Oktober lalu mengakibatkan kematian kira-kira 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut rekod Israel.

Pejuang Hamas turut menawan kira-kira 250 tebusan, 129 daripadanya masih berada di Gaza, termasuk 34 yang dikatakan Israel, sudah meninggal dunia.

Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas, serangan balas Israel membunuh sekurang-kurangnya 34,568 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 9:59 AM