MOHD Yusoff Latiff
MOHD Yusoff Latiff
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengasas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yusoff Latiff menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menyatakan kekesalan berikutan tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

Yusoff salah seorang pengasas dan bekas Setiausaha Agung PSM yang pertama, menyifatkan dan berpendapat bahawa tindakan PPS dan KBS meluluskan MSC adalah tidak wajar kerana ia akan merosakkan arena sukan sepak takraw disebabkan oleh kewujudan dua entiti yang sama dengan matlamat yang sama seperti PSM.

"Saya berpendapat bahawa tindakan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Ibrahim Mohd Yusof meluluskan MSC dengan sokongan Datuk Seri (Ahmad Faizal) selaku Menteri Belia dan Sukan bagi menjadikan ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sedikit sebanyak menjejaskan hasrat PSM untuk bergabung semula dengan badan induk benua itu," katanya dalam surat berkenaan.

Beliau berpendapat, sekiranya PSM mempunyai masalah dengan Astaf sepatutnya PPS dan KBS memainkan peranan bagi membantu menyelesaikan masalah dan bukannya cuba untuk melagakan atau merosakkan sesebuah pertubuhan sukan yang dibina sejak dulu lagi.

MOHD Yusoff (duduk empat dari kiri) ketika mesyuarat menubuhkan PSM pada 28 Januari 1960. -FOTO Ihsan Tan Sri Mohd Yusoff Latiff
MOHD Yusoff (duduk empat dari kiri) ketika mesyuarat menubuhkan PSM pada 28 Januari 1960. -FOTO Ihsan Tan Sri Mohd Yusoff Latiff

"Menteri Belia dan Sukan terdahulu iaitu Datuk Seri Reezal Merican sudah menyelesaikan isu antara PSM dan Astaf di mana sebelum ini, PPS sendiri juga bersetuju untuk menyelesaikan masalah yang ada dengan meminta PSM meminda beberapa peraturan serta melakukan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan perkara itu dilaksanakan oleh PSM.

"Bagaimanapun, selepas mendapati bahawa secara tiba-tiba PPS dan KBS meluluskan penubuhan MSC, saya berasa amat kesal dan sedih.

"Saya merasakan bahawa ia satu keputusan yang tidak wajar dan tergesa-gesa kerana Menteri terdahulu tidak meluluskan penubuhan MSC.

"Saya juga percaya bahawa segala masalah seharusnya boleh diselesaikan dengan senang dan bukannya dengan menubuhkan MSC di mana pada pandangan saya, perkara ini boleh diselesaikan melalui perbincangan dengan kesemua pihak," kata Mohd Yusof.

Beliau juga dengan rendah diri memohon pertimbangan daripada Ahmad Faizal untuk menilai kesemua isu-isu yang berbangkit dengan adil dan wajar.

Sekiranya Datuk Seri ingin berjumpa untuk berbincang di masa akan datang, saya bersedia untuk membincangkan apa-apa isu yang berkaitan.

"Segala usaha yang saya buat selama ini adalah kerana saya menyayangi PSM yang saya terajui sejak lebih dari 40 tahun yang lalu," katanya.

PSM diasaskan pada tahun 1960 yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Sepakraga Persekutuan Tanah Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:04 PM