SUMALI (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025, Sabtu lalu. FOTO Bernama
SUMALI (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025, Sabtu lalu. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menghormati keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) Jumaat lalu namun beliau serta badan induk yang dipimpinnya tidak berapa jelas tujuan asas penubuhan organisasi berkenaan.

Menurutnya MSC masih belum boleh dianggap sebagai badan induk sepak takraw kerana masih banyak proses perlu dilalui berbanding PSM yang sah disisi undang-undang.

"Saya hormati keputusan PPS meluluskan entiti baru (MSC) walaupun di pihak saya dan PSM masih tidak berapa jelas tujuan asan penubuhan berkenaan," katanya yang berjaya mengisi kerusi presiden selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Sabtu lalu apabila menang tanpa bertanding.

Ujar Sumali, setakat ini pendaftaran PSM sah disisi undang-undang apabila diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan PPS.

"Tidak ada pula surat rasmi daripada MOM dan PPS yang tidak mengiktiraf kita, cuma yang ada masalah sikit adalah di antara PSM dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

"Dari segi (pengiktirafan) di negara kita sendiri PPS dan MOM masih okay. Paling penting MOM itu sendiri perlu mengiktiraf MSC sebelum diterima Astaf dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

"Setakat ini dan semalam kita sudah menghantar surat rasmi bertemu Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan PPS, jadi kita tunggu respons agar mempunyai ruang serta peluang bertemu mereka. Kalau ada keputusan yang kita tidak tahu susah untuk selesai kerana kita mahu menyelesaikan secara perundingan.

"Kalau dengar dari sebelah pihak susah (untuk selesai) kena dengar daripada kedua-dua belah pihak. Astaf pun kita sudah menghubungi untuk berjumpa dan berbincang cuma setakat ini kita masih menunggu respons mereka," kata Sumali.

MSC yang akan mengadakan Mesyuarat Agung Pertama Sabtu ini, diketuai sementara oleh Pengerusi Jawatankuasa Penajanya (Protem), Datuk Khairudin Samad yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap).

Lain-lain termasuk Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran, Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSTWPL), Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman dan mantan Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPS), Syed Azmir Syed Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 1:23 PM