MOM sahkan PSM masih lagi ahli gabungan badan induk itu. -FOTO NSTP
MOM sahkan PSM masih lagi ahli gabungan badan induk itu. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) secara hitam putih mengesahkan bahawa Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih lagi ahli gabungan badan induk itu.

Pengesahan MOM itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat kepada PSM pada 8 April lalu yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

"Kami dengan sukacitanya memperakui bahawa Persekutuan Sepaktakraw Malaysia ditubuhkan pada tahun 1960 dan bergabung dengan MOM sejak tahun 1966 sehingga kini.

"PSM berdaftar dengan MOM sebagai persatuan sukan kebangsaan yang mempunyai bidang kuasa ke atas sukan sepak takraw di malaysia.

"PSM dibenarkan menyertai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (Seap), Sukan Asia Tenggara (Sukan Sea) dan Sukan Asia di bawah bidang kuasa dan kuasa MOM," kata Nazifuddin.

Bulan lalu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan PSM masih menjadi ahli gabungan organisasi berkenaan selain meminta Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa dalam kemelut dihadapi.

PSM melalui satu kenyataan ketika itu menganggap keputusan PJS yang meluluskan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baru sukan sepak takraw negara, jelas bercanggah dengan prinsip dan semangat kesukanan yang terbina selama ini.

PSM menyatakan tindakan PJS yang meluluskan MSC dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pula mengiktiraf MSC adalah satu tindakan yang amat dikesali dan diragui serta dilihat tidak mengikut kaedah atau prosedur ditetapkan seperti melalui kelulusan atau persetujuan MOM terlebih dulu.

Sepuluh ahli gabungan dan empat ahli bersekutu masih berdiri teguh menyokong PSM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 2:23 PM