HALIM menegaskan bahawa sokongan daripada PPS itu menguatkan lagi kedudukan MSC untuk diterima menganggotai Astaf. FOTO NSTP
HALIM menegaskan bahawa sokongan daripada PPS itu menguatkan lagi kedudukan MSC untuk diterima menganggotai Astaf. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) memaklumkan bahawa Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) kini hampir pasti diterima menjadi ahli gabungan Astaf.

Presiden Astaf, Datuk Halim Kader dalam satu kenyataan memaklumkan Astaf sudahpun menerima salinan surat sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyatakan sokongan untuk menjadi ahli gabungan Astaf.

"Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof dalam satu surat bertarikh 28 Februari 2022 menyatakan sokongan kepada MSC dan beliau tidak mempunyai halangan berhubung permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan Astaf.

"Beliau (Ibrahim) tidak membantah permohonan MSC untuk bertindak sebagai badan induk sepak takraw di Malaysia demi kemajuan dan perkembangan sukan itu," kata Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

Justeru Halim menegaskan bahawa sokongan daripada PPS itu menguatkan lagi kedudukan MSC untuk diterima menganggotai Astaf secara rasmi tidak lama lagi.

"Tidak keterlaluan kalau saya katakan, MSC kini sudah sebelah kaki dan seolah-olah di sudah di ambang memasuki rumah Astaf," katanya.

Namun ketika ditanya berhubung kedudukan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Halim mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang komen lanjut berhubung status PSM ketika ini.

Terdahulu, PSM sudah pun menghantar surat permohonan semula untuk menyertai Astaf pada minggu lalu. Bagaimanapun mereka perlu melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50).

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk Asia berkuatkuasa serta merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 9:20 PM