PERCATURAN dua pengurus bakal menjadi penentu untuk aksi Ahad ini. FOTO Reuters
PERCATURAN dua pengurus bakal menjadi penentu untuk aksi Ahad ini. FOTO Reuters
Reuters

London: Arsenal tercicir dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka dibelasah Manchester City hampir setahun lalu tetapi pasukan Mikel Arteta berkunjung ke Stadium Etihad Ahad ini sebagai pesaing tulen dengan momentum di pihak mereka.

Dengan baki 10 perlawanan Arsenal mendahului perlumbaan kejuaraan tiga penjuru selepas memenangi lapan perlawanan berturut-turut, menjaringkan banyak gol dalam proses itu, dan penuh dengan keyakinan.

Menuju ke minggu penting, Arsenal mempunyai 64 mata, sama seperti Liverpool yang mendahului dengan perbezaan gol.

Dengan City mengumpul 63 mata, ia adalah kali pertama sejak 2014 satu mata memisahkan tiga teratas selepas 28 perlawanan.

Liverpool, yang gagal memburu empat trofi dengan kekalahan dalam saingan Piala FA kepada Manchester United, boleh menduduki tempat teratas apabila mereka melayan kunjungan Brighton & Hove Albion pada hari Ahad sebelum aksi di Manchester bermula.

Suasana di kem Arsenal adalah jauh berbeza daripada perjalanan musim lalu ke Stadium Etihad apabila mereka tiba dengan gementar.

Mereka dibelasah 1-4 dan sejak saat itu kejuaraan EPL ketiga berturut-turut City adalah di tangan mereka.

City tidak tewas dalam liga sejak 6 Disember tetapi seri dua daripada lima perlawanan terakhir mereka, terutamanya keputusan seri 1-1 di Liverpool awal bulan ini – keputusan yang membolehkan Arsenal kekal di hadapan kedua-dua pencabar gelaran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:57 PM