HAALAND (tengah) belum pasti dapat diturunkan ketika menentang Liverpool. FOTO AFP
HAALAND (tengah) belum pasti dapat diturunkan ketika menentang Liverpool. FOTO AFP
Reuters

London: Peminat Manchester City gusar dengan tahap kecergasan peledak utama mereka, Erling Haaland menjelang perlawanan penting Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri menentang Liverpool esok.

Dengan Arsenal lapan mata di hadapan City di tempat kedua, juara bertahan itu perlu mengutip tiga daripada skuad bimbingan Jurgen Klopp untuk memastikan The Gunners tidak mendahului mereka dengan lebih selesa.

Arsenal, yang berbaki 10 perlawanan dan sedang memburu kejuaraan pertama sejak musim 2003-04, menerima kunjungan pasukan di tangga ke-14, Leeds United, esok.

Penyerang Norway Haaland, yang sudah menjaringkan 42 gol menakjubkan sepanjang 37 perlawanan untuk City sejak berhijrah dari Borussia Dortmund, mengalami kecederaan pangkal paha dan tidak menjalani latihan semalam.

Ketiadaannya bersama pemain tengah England, Phil Foden yang juga diketepikan selepas menjalani pembedahan apendiks, pastinya dialu-alukan oleh penyokong Arsenal serta Liverpool, yang kini menduduki tangga keenam dan masih berusaha memburu tempat tiket Liga Juara-Juara.

"Ia adalah umpama aksi final untuk merebut piala bagi Manchester City. Mereka perlu memenangi perlawanan ini.

Kemenangan akan mengurangkan jurang kepada lima mata dan memberi tekanan kepada Arsenal, yang masih perlu mengharungi beberapa perlawanan sukar.

"Keputusan seri untuk City dan kemenangan Arsenal menentang Leeds akan menyaksikan jurang kepada 10 mata dan ia terlalu jauh. Itulah jurang di mana anda mula berfikir ia mungkin sudah berakhir," tulis bekas perancang Arsenal, Paul Merson dalam ruangan skysports.com.

Arsenal akan menentang Liverpool di Anfield pada 9 April dan City di Stadium Etihad pada 26 April dalam misi membalas dendam selepas tewas kepada seteru utama mereka itu di Emirates, Februari lalu.

"Kami tidak boleh mengawal keputusan kelab lain, apa yang kami boleh kawal ialah apa yang kami lakukan setiap hari," kata pengurus Mikel Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 7:51 AM