REAKSI Guardiola selepas tamat perlawanan menentang Arsenal. FOTO Reuters
REAKSI Guardiola selepas tamat perlawanan menentang Arsenal. FOTO Reuters
Reuters

Manchester, England: Pengurus Manchester City Pep Guardiola menegaskan pasukannya masih perlu ditewaskan dalam perebutan sengit gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun mereka kekal di tangga ketiga susulan seri tanpa jaringan dengan Arsenal awal pagi tadi.

City menjaringkan gol dalam 42 perlawanan liga di Stadium Etihad sebelum menentang Arsenal di Stadium Etihad tetapi catatan itu berakhir selepas skuad Mikel Arteta cekal mempertahankan gawang mereka.

Keputusan seri itu membolehkan Liverpool kembali ke puncak liga dengan 67 mata manakala Arsenal kedua (65 mata), satu mata di depan juara bertahan City dengan baki sembilan perlawanan.

Ketika ditanya pasukan mana yang terbaik, Guardiola berkata: "Man City," kemudian menambah: "Reaksi anda, anda tak bersetuju?"

"Kami mungkin tidak berada di sini. Separuh akhir Piala FA, suku akhir Liga Juara-Juara dan bertarung dengan Liverpool serta Arsenal," kata pengurus itu.

Guardiola merujuk saingan sengit liga beberapa tahun terakhir termasuk musim lalu apabila City mengatasi cabaran Arsenal pada saat akhir dengan kelebihan lima mata manakala meninggalkan Manchester United dengan 75 mata.

"Apabila anda melihat Liverpool bermain, saya kata kami tak boleh 10 mata di depan dan apabila melihat Arsenal beraksi, kami tak boleh 16 mata di depan. Mereka sangat bagus," katanya.

"Juergen (Klopp) dan Mikel bersama pasukan mereka memang hebat tapi kami masih ada di sana.

"Jadi adakah kami mahu menang? Ya. Kami bermain untuk menang? Ya. Kami cipta banyak peluang (semalam)? Tidak. Mereka cipta banyak peluang? Tidak. Jadi ia perlawanan sengit? Ya. Ia seperti pertarungan," kata jurulatih dari Sepanyol itu yang melantik Arteta sebagai penolongnya di City pada 2016.

"Saya puas hati. Saya kata kepada pasukan jangan bersedih. Saya tahu pemain saya dan sikap mereka. Kredit juga kepada Arsenal di atas pencapaian mereka."

City setakat ini hanya meraih empat mata daripada aksi menentang lima pasukan teratas liga musim ini berbanding 16 mata musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 8:17 AM