HONG Wan dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa pada bulan depan. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
HONG Wan dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa pada bulan depan. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jentera tengah skuad Harimau Malaya bakal meraih sentuhan bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kini beraksi untuk Johor Darul Ta'zim (JDT), Hong Wan buat pertama kali.

Hong Wan, 23, yang pernah beraksi untuk skuad bawah 23 kelab Wolverhampton Wanderers di England dari 2019-2021 antara tonggak baharu yang bakal dipertaruhkan Kim Pan-gon pada dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Syria dan China di Chengdu, China pada 6 dan 9 September depan.

Keputusan Pan-gon menyenaraikan tonggak kacukan itu sudah pastinya bakal memperkukuhkan bahagian tengah pasukan seperti mana dilakukan Hong Wan bersama JDT sepanjang musim ini.

Di samping memberi impak besar sebagai pemain tengah bertahan, rembatan padu Hong Wan membantu JDT menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) FC di final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai lalu.

Selain Hong Wan, pengendali dari Korea Selatan itu turut memanggil semula pertahanan kental, Dion Cools bagi memperkukuhkan benteng negara.

"Seramai seramai 15 daripada 26 pemain yang dipanggil adalah pemain dikekalkan daripada kem latihan pusat terdahulu di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jun lalu.

"Baki 11 pemain lain terdiri daripada tujuh pemain dari kem Mac 2023 yang tiada ketika kem Jun 2023 iaitu kapten pasukan, Cools," kata pengendali negara itu yang akan memulakan latihan pusat pada 29 Ogos ini.

Selain Cools, enam lagi pemain yang dipanggil semula adalah dua penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Damien Lim; Darren Lok, Quentin Cheng, Brendan Gan dan Nor Azam Abdul Azih.

Manakala tiga lagi pemain dari skuad Piala AFF tahun lalu iaitu Sharul Nazeem Zulpakar, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan Amin.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Syria pada 6 September, sebelum menentang China bagi aksi kedua pada 9 September ini.

Aksi persahabatan antarabangsa itu sebahagian persiapan Malaysia bagi menghadapi Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur, Oktober ini selain Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini serta Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 6:16 PM