DAVIES tidak tersenarai pada kem latihan sulung di bawah bimbingan Pan-gon Mac lalu. FOTO FAM
DAVIES tidak tersenarai pada kem latihan sulung di bawah bimbingan Pan-gon Mac lalu. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Matthew Davies percaya mampu memikat perhatian pengendali negara, Kim Pan-gon menjelang Kelayakan Piala Asia 2023 bermula 8 Jun ini.

Jelas tonggak kacukan Australia-Malaysia itu, walaupun dia antara tonggak baharu yang disenaraikan oleh Pan-gon dalam kem latihan kali ini, dia percaya pengalaman yang dimiliki ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan skuad kebangsaan sebelum ini mampu meraih kepercayaan jurulatih dari Korea Selatan itu.

"Tiada apa hendak dibuktikan, jika kami lakukan yang terbaik maka kami akan dapat beraksi di padang, sebagai pemain kami semua mahu memberikan aksi permainan terbaik kami," katanya.

Pada kem latihan sulung di bawah bimbingan Pan-gon Mac lalu, Davies tidak tersenarai dengan tempatnya diisi oleh seorang lagi pemain kacukan yang berpengkalan di Belgium, Dion Cools.

Namun dengan kehadiran Davies, sudah pastinya ia memberi saingan sihat di posisi itu dengan Cools kini perlu bersaing untuk berada dalam kesebelasan utama.

Ujar bekas pemain Sri Pahang itu lagi, dia kagum dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan Pan-gon yang disifatkan cukup mudah disamping berjaya membina hubungan yang harmoni bersama pemain.

"Ia sangat mengujakan (berlatih dengan Pan Gon), saya tidak tahu apakah perbezaaannya (berlatih di bawah Cheng Hoe) apa yang saya boleh kata beliau berjaya memberikan tanggapan pertama yang baik kepada anak-anak buahnya," katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Brunei dan Hong Kong, masing-masing pada Jumaat dan Rabu depan dalam perlawanan persahabatan sebelum memulakan cabaran kelayakan Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini dari 8 hingga 14 Jun.

Pada saingan kelayakan itu, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan E akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 5:18 PM