HONG Wan (kanan) mengalami kecederaan. FOTO Bernama
HONG Wan (kanan) mengalami kecederaan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Skuad Harimau Malaya menerima 'dugaan pertama' pada hari pertama kem latihan pusat hari ini, apabila dua pemain disahkan mengalami kecederaan sekali gus tidak dapat bersama pasukan kendalian Kim Pan-gon ke Chengdu, China bulan depan.

Perkhabaran itu disahkan Pan-gon sendiri yang mengakui terpaksa melupakan khidmat tonggak tengah bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT), Hong Wan yang mengalami kecederaan.

Seorang lagi tonggak yang terpaksa dilepaskan adalah penjaga gol Sabah FC, Damien Lim yang turut berdepan masalah kecederaan.

Jelas pengendali dari Korea Selatan itu, beliau terpaksa memanggil pengganti Damien Lim dengan menyenaraikan penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Azri Ab Ghani yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.

Manakala tempat Hong Wan pula dibiarkan kosong tanpa memanggil mana-mana pemain daripada senarai menunggu.

"Namun, buat masa ini tiada sebarang penggantian pemain dari senarai bersedia bagi mengisi tempat Hong Wan untuk menjadikan skuad panggilan kali ini disertai seramai 25 orang pemain.

"Semoga Damien dan Hong Wan cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," kata Pan-gon.

Dengan perkembangan terbaru itu, maka Pan-gon dilihat terus kempunan untuk menagih khidmat Hong Wan yang sebelum ini beraksi dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolverhampton Wanderers bersama skuad bawah 23 tahun kelab itu.

Pasukan kebangsaan dalam rangka persiapan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, dengan dijadual bertemu Syria dan China, masing-masing para 6 dan 9 September ini.

Ia sebahagian daripada persediaan mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini, dan Piala Asia di Qatar pada Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 6:36 PM