SKUAD Harimau Malaya bergambar sebelum menentang China. FOTO  FAM
SKUAD Harimau Malaya bergambar sebelum menentang China. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat barisan pemain skuad Harimau Malaya cukup membara dan berkobar-kobar bagi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa terutamanya menjelang saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan kempen Piala Asia di Qatar, Januari depan.

Antara pemain yang melontarkan keterujaan adalah dua tonggak warisan iaitu ketua pasukan, Dion Cools dan Darren Lok serta dua lagi pemain naturalisasi negara, Paulo Josue serta Sergio Aguero.

Cools, 27, yang memiliki darah kacukan Malaysia- Belgium mengakui tidak sabar untuk terus menabur bakti selepas beraksi cemerlang membantu skuad kendalian Kim Pan-gon mengikat dua pasukan di ranking 100 terbaik dunia, Syria dan China menerusi keputusan seri 2-2 dan 1-1.

"Akan bersambung (untuk aksi antarabangsa berikutnya) lagi," tulis Cools di laman sosial Instagramnya dengan meninggalkan tanda pagar 21 yang merujuk kepada nombor jersinya.

"Sayang pasukan ini," kata Lok yang turut meledak gol kedua ketika aksi menentang Syria di mana penyerang Sabah FC it masuk sebagai pemain gantian di babak kedua.

Buat Josue pula, dia yang dinaturalisasikan pada awal tahun ini mengakui amat berbangga mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Sungguh suatu penghormatan dapat mewakili pasukan kebangsaan. Ayuh mari kita teruskan," katanya di laman Facebook miliknya, sambil berkongsi beberapa keping gambar sepanjang kunjungan di Chengdu, China itu.

Nada sama diluahkan penyerang Sri Pahang FC, Sergio Aguero yang diturunkan oleh Pan-gon sebagai pemain gantian ketika berdepan Syria.

"Menjadi kebanggaan untuk saya menyarung jersi Malaysia," tulisnya dalam Bahasa Malaysia di akaun Instagramnya di mana dia sendiri mengambil iniasitif mengikuti kelas bahasa bagi mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan itu.

Selepas ini, skuad negara akan dikumpulkan sekali pada pada kem latihan antarabangsa bulan depan bagi menyertai Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

Kemudian anak buah Pan-gon dijadual bersaing di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini, serta Piala Asia di Qatar Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 5:48 PM