KEHADIRAN Natxo dijangka bakal mengisi ketiadaan serang lagi pemain kacukan iaitu Brendan. FOTO AIZUDDIN SAAD
KEHADIRAN Natxo dijangka bakal mengisi ketiadaan serang lagi pemain kacukan iaitu Brendan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dua tonggak kacukan iaitu Natxo Insa dan Daniel Ting muncul pemain terbaharu yang dipanggil pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi menghadapi dua aksi persahabatan Tier 1 di Kuala Terengganu pada minggu hadapan.

Natxo, 37, yang beraksi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) pernah memperkuatkan skuad negara ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe pada 2018 lalu sebelum selepas itu sering tercicir meskipun beraksi cukup cemerlang bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak beberapa musim lalu.

Kehadiran Natxo dijangka bakal mengisi ketiadaan serang lagi pemain kacukan iaitu Brendan Gan yang tidak disenaraikan kali ini.

Manakala Daniel Ting, 31, yang cukup ampuh di bahagian pertahanan kiri bersama Sabah bakal memberi pilihan baru buat Pan-gon untuk memperkukuhkan benteng pasukan negara.

Tidak ketinggalan juga, kehadiran semula pemenang anugerah penyerang terbaik Liga M 2017 lalu, Shahrel Fikri yang sudah menemui sentuhan pemusnahnya bersama Negeri Sembilan FC pada musim ini.

Menerusi senarai panggilan pemain, Pan-gon mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac lalu.

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.

Kehilangan Cools bakal diisi pertahanan muda JDT, Feroz Baharudin yang turut mendapat panggilan pertamanya bersama skuad senior negara.

Malah, dalam senarai itu menyaksikan pemain dari JDT paling ramai dipanggil dengan 13 orang, diikuti Selangor FC dengan tiga pemain yang diketuai Faisal Halim.

Pemain yang berpangkalan di Liga Finland iaitu Nooa Laine turut disenaraikan selepas beraksi cemerlang pada dua aksi persahabatan antarabangsa dengan skuad Harimau Malaya Mac lalu.

Kesemua pemain dijadual berkumpul di Kuala Terengganu pada Sabtu ini untuk memulakan latihan pusat.

Ia sebagai persediaan untuk aksi berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, masing-masing pada 14 dan 20 Jun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:52 PM