PERPINDAHAN Rice ke Arsenal masih lagi cetus tanda tanya. FOTO Agensi
PERPINDAHAN Rice ke Arsenal masih lagi cetus tanda tanya. FOTO Agensi
Agensi

London: West Ham United membuat kemas kini besar-besaran di laman sesawang rasmi mereka termasuk dengan mengeluarkan penjualan jersi Declan Rice.

Ia seakan satu petunjuk bahawa pemain berusia 24 tahun itu semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan dengan bernilai £105 juta (RM622 juta) ke Arsenal.

Ruangan pembelian di laman sesawang rasmi The Hammers menunjukkan tiada lagi penjualan jersi nombor 41 yang tertera nama Rice di belakang.

Jersi no 10 yang dipakai Manuel Lanzini juga tiada untuk pembelian selepas kontrak pemain Argentina itu bersama West Ham sudah berakhir.

Sebelum ini Arsenal berjaya mendapatkan Kai Havertz tetapi akhbar Britain melaporkan kelab itu bersetuju dengan bayaran £105 juta untuk mendapatkan pemain tengah England dari West Ham, Rice.

Sementara itu, pertahanan Sporting CP Goncalo Inacio juga menarik minat Arsenal, berdasarkan laporan media Portugal, Correio da Manha.

Laporan itu mendakwa bahawa The Gunners, bersama Manchester United, Liverpool dan Newcastle United, berminat untuk menandatangani pertahanan tengah Sporting, Inacio semasa jendela perpindahan yang dibuka sekarang.

Pemain berusia 21 tahun itu dikatakan mempunyai klausa pelepasan €45 juta (RM229 juta) dalam kontrak semasanya di Lisbon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 12:54 PM