RICE akhirnya sah berpindah ke Emirates. FOTO Agensi
RICE akhirnya sah berpindah ke Emirates. FOTO Agensi
Reuters

London: Arsenal menandatangani pemain antarabangsa England, Declan Rice dengan kontrak jangka panjang daripada West Ham United, kata kelab utara London itu hari ini.

Butiran kewangan mengenai perpindahan itu tidak didedahkan tetapi media Britain melaporkan bahawa bayaran untuk pemain tengah itu ialah £105 juta (RM622 juta), menjadikannya rekod perpindahan tertinggi Britain.

"Dia adalah pemain yang mempunyai kebolehan luar biasa, yang beraksi pada tahap tinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan untuk England bagi beberapa musim kebelakangan ini," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta dalam satu kenyataan.

"Declan membawa kualiti yang tidak diragukan kepada kelab dan dia adalah bakat luar biasa yang berpotensi untuk berjaya di sini."

Yuran perpindahan pemain berusia 24 tahun itu melepasi £100 juta (RM592 juta) yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa untuk pemain tengah England, Jack Grealish pada 2021.

Rice juga menjadi pembelian termahal Arsenal, mengatasi £72 juta (RM426 juta) yang mereka bayar Lille untuk Nicolas Pepe pada 2019.

Rice meninggalkan West Ham selepas membantu mereka merangkul kejuaraan Liga Konferensi Europa dan menduduki tempat ke-14 dalam EPL.

"Declan mempunyai pengalaman hebat dalam EPL pada usia 24 tahun sahaja," kata Arteta.

"Dia mengetuai West Ham yang sangat baik dan seperti yang kita semua lihat, dia baru-baru ini menjulang trofi Eropah. Tanggungjawab dan peranan yang dia pikul sangat mengagumkan dan kami sangat teruja bahawa dia menyertai kami."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 8:31 PM