TONGGAK tengah Arsenal, Declan Rice. FOTO Agensi
TONGGAK tengah Arsenal, Declan Rice. FOTO Agensi
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengharapkan 'kepulangan semula' tonggah tengahnya, Declan Rice menjelang aksi Piala Liga menentang bekas kelabnya West Ham dapat meningkatkan lagi persembahan Rice.

Musim lalu, Rice cemerlang membantu West Ham menjulang trofi Liga Konferensi Europa selepas menewaskan Fiorentina di Prague yang juga aksi terakhirnya untuk kelab itu sebelum menyertai The Gunners.

Arsenal menyerahkan tawaran 105 juta pound (RM623 juta) untuk membeli Rice daripada West Ham, sekali gus menjadikan pemain berusia 24 tahun itu pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak Britain.

Jelas Arteta, beliau percaya penampilan sulung Rice di depan penyokong West Ham selepas berhijrah bakal menaikkan motivasinya untuk menampilkan permainan menarik.

"Saya fikir, ia akan menjadi momen yang indah buat Rice apabila muncul buat pertama kali di kelab lamanya selepas berhijrah awal musim ini," kata Arteta.

"Saya fikir ia akan menjadi hari yang cukup indah. Saya pernah melalui situasi itu (ketika bergelar pemain) dan ia benar-benar mengujakan terutama apabila beraksi di depan penyokong yang pernah memberi sokongan sebelum ini," katanya.

Malah, jurulatih West Ham David Moyes turut menjangkakan Rice akan menerima sambutan hangat.

"Anda perlu ingat ini adalah pemain utama yang menjulang trofi Eropah pertama kelab ini seleas lebih 50 tahun. Dia sepatutnya disambut kembali dengan tangan terbuka. Kami semua tidak sabar untuk berjumpa dengannya lagi.

"Dia adalah ahli pasukan yang cemerlang, dia memimpin pasukan dengan cemerlang. Dia menjalankan tugasnya dengan sempurna sebagai ketua pasukan West Ham dan sebagai pemain," kata Moyes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 8:52 AM