RICE menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Macedonia Utara. FOTO AFP
RICE menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Macedonia Utara. FOTO AFP
Reuters

London: Declan Rice berkata, perpindahan mahal dari West Ham ke Arsenal membuatkan dia cukup gementar dan pemain tengah itu tiba di kelab Utara London itu dengan menyedari impak segera diharapkan daripadanya.

Arsenal menandatangani pemain antarabangsa England berusia 24 tahun itu Julai lalu dengan harga 105 juta pound (RM611.83 juta) itu rekod perpindahan termahal antara dua kelab Britain.

Ia mengatasi bayaran 100 juta pound (RM582.7 juta) yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa untuk Jack Grealish pada 2021.

"Apabila perpindahan itu berlangsung, saya cukup gementar kerana tanda harga yang tinggi itu," kata Rice menjelang perlawanan kelayakan Euro 2024 England menentang Macedonia Utara, awal pagi esok.

"Anda adalah manusia yang dibeli pada harga 105 juta pound, ia bukan perasaan yang normal. Tetapi, ia kerana apa yang saya lakukan di West Ham, apa yang mereka nilaikan terhadap saya.

"Ia adalah 100 juta pound, jumlah wang yang sangat banyak, saya boleh faham tekanan yang hadir bersamanya.

"Bukan hanya tekanan yang anda letakkan kepada diri sendiri, tetapi jangkaan dibawa terhadap nilai besar itu menyebabkan hasilnya perlu ditunjukkan dengan kadar segera.

"Mereka melabur jumlah wang yang besar buat saya, saya perlu membuktikan sebab menyertai kelab itu dan mampu merubah segala-galanya."

Rice berkata, dia faham apabila Grealish yang juga rakan sepasukannya dalam skuad England yang menang treble bersama City musim lalu, agak bergelut dengan prestasi selepas perpindahan itu.

"Dia adalah pemain bola sepak berharga 100 juta pound, tetapi berikutan dia tidak kerap bermain, mungkin situasi berbeza dialaminya.

"Kini, dia semakin menyerlah dan demikian juga dengan saya," kata Rice.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:59 PM