Kaka ketika beraksi bersama Ronaldo dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
Kaka ketika beraksi bersama Ronaldo dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
Agensi

Doha: Legenda bola sepak Brazil, Kaka mendedahkan masyarakat di Brazil kurang menghormati pemenang Piala Dunia dua kali, Ronaldo dan melihat pemain itu sebagai seorang lelaki gemuk yang berjalan di tempat awam.

Kaka yang juga bintang AC Milan dan Real Madrid turut memberitahu ramai rakyat Brazil sebenarnya tidak begitu menyokong pasukan kebangsaan mereka.

Ronaldo diiktiraf sebagai antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak, membantu Brazil menjulang Piala Dunia pada 1994 dan 2002 malah mengharungi karier cemerlang di Barcelona, Inter Milan dan Real Madrid.

Dia kini di Qatar dan Brazil melakukan persediaan bagi pertembungan Suku Akhir Piala Dunia berdepan Croatia.

Begitupun bercakap kepada BeIN Sports, bekas bintang Real Madrid, Kaka berkata: "Agak pelik untuk memperkatakan mengenai perkara ini, tetapi ramai penduduk Brazil tidak memberi sokongan kepada Brazil.

"Ia kadang kala berlaku. Jika anda melihat Ronaldo berjalan di kawasan sekitar, anda akan seperti: "Wow, dia mempunyai sesuatu yang berbeza di sini."

Di Brazil, dia hanya seorang lelaki gemuk yang berjalan di tempat awam.

Apabila pengacara, Richard Keys bertanya jika Ronaldo mendapat penghargaan daripada rakyat Brazil sama seperti berlaku di tempat lain, Kaka berkata: "Sudah tentu, ramai masyarakat Brazil sayangkan Ronaldo, saya sayangkan Ronaldo tetapi cara dia dihormati di Brazil dan dibanggakan adalah berbeza, saya dapat lihat lebih banyak penghargaan buat dirinya di luar negara lain."

Rakan penganalisis bola sepak Gary Neville dan John Terry turut terkejut dengan kenyataan Kaka di studio berkenaan.

Kenyataan Kaka turut dikaitkan dengan layanan peminat terhadap Neymar, sekalipun menjadi bintang dalam pasukan Brazil, dia menerima persepsi negatif daripada rakyat Brazil.

Kaka yang beraksi di bahagian tengah mempunyai 92 kap penampilan buat negaranya dan meledak 29 gol sepanjang 14 tahun ketika menyarung jersi Brazil.

Selain Kaka beberapa legenda Brazil antaranya Ronaldo, Roberto Carlos dan Cafu dilihat menyaksikan pasukan kebangsaan mereka berdepan Switzerland di Qatar.

Brazil menentang Croatia pada aksi suku akhir malam ini dengan Ronaldo dan Kaka dijangka menonton perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 7:16 PM