RONALDO (kanan) dan pasangannya, Celina diraikan pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Agensi
RONALDO (kanan) dan pasangannya, Celina diraikan pada majlis perkahwinan mereka. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Legenda Brazil, Ronaldo Nazario melangsungkan perkahwinan buat kali ketiga.

Bekas penyerang prolifik berusia 47 itu berkahwin dengan model, Celina Locks, 33, di Ibiza pada hujung minggu lalu.

Pasangan glamor itu berpakaian serba putih ketika mereka meraikan majlis itu bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sekeping gambar di media sosial menunjukkan mereka dihujani kelopak bunga putih ketika berjalan seiringan.

"Hari ini kami mengumpulkan keluarga kami untuk meraikan majlis yang menandakan permulaan kepada lebih banyak keraian," kata Celina.

Ronaldo dan Celina mengumumkan pertunangan mereka pada Januari lalu selepas legenda Samba itu melamarkanya ketika bercuti di kepulauan Caribbean.

Ia adalah perkahwinan kali ketiga Ronaldo, yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Milene Domingues dan Daniela Cicarelli.

Pemenang Piala Dunia sebanyak dua kali itu memiliki kelab Sepanyol, Real Valladolid dan Cruzeiro di Brazil.

Dia yang memiliki dua gelaran Ballon d'Or itu pernah membintangi Real Madrid, Barcelona, Inter dan AC Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 9:23 AM