AP

Paris: Jurulatih Brazil, Dunga (gambar) akan berkunjung semula ke satu daripada tempat paling mengecewakannya apabila beliau mengemudi pasukannya menentang Perancis pada perlawanan persahabatan di Stade de France, awal pagi esok.

Beliau menjadi kapten Brazil pada 1998 apabila pasukannya ditundukkan Perancis yang mendapat inspirasi Zinedine Zidane pada final Piala Dunia.

Sebagai pemenang Piala Dunia 1994 ketika beraksi sebagai pemain, beliau kini jurulatih yang membentuk semula Selecao selepas diaibkan di laman sendiri pada Piala Dunia tahun lalu dan beliau berazam menghapuskan segala badi yang menimpa pasukan itu.

Satu daripada tugas terbesarnya adalah cuba menggunakan sebaik mungkin bakat Neymar, pemain yang dianggap permata terbaik Brazil.

Neymar mungkin menduduki tangga ketiga senarai pendahulu penjaring terbanyak La Liga Sepanyol di belakang rakan sepasukan Lionel Messi dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, namun dia bergelut untuk mencetak gol sejak dua bulan lalu.

Dia hanya menyumbat tiga gol dalam sembilan perlawanan terakhir sekalipun Barca menikmati rentetan 18 kemenangan dalam 19 perlawanan terakhir.

Neymar pasti gembira menyertai pasukan kebangsaan semula kerana dia menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan terakhir Brazil, termasuk empat pada perlawanan menentang Jepun.

Jumlah 42 gol miliknya pada peringkat antarabangsa pada usia 23 tahun membolehkannya mengancam rekod pemain legenda Pele, 77 suatu hari nanti.

Namun, ketika dia terpaksa berkongsi tumpuan di Barca di samping Messi dan kini Luis Suarez, bersama Brazil seluruh pasukan dibentuk di sekitarnya, menjadikannya senjata utama di bahagian serangan.

Dia juga kapten Selecao, sesuatu yang dianggap Dunga membantunya meningkat sebagai pemain.

“Lebih banyak tanggungjawab dipikulnya, lebih bagus bagi peningkatannya,” jelas Dunga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:04 AM