JUNIOR (kiri) akan kekal di Flamengo hingga Julai 2019.
JUNIOR (kiri) akan kekal di Flamengo hingga Julai 2019.
Reuters

Madrid: Real Madrid mencapai persetujuan dengan kelab Brazil, Flamengo untuk mengikat penyerang berusia 16 tahun, Vinicius Junior pada Julai 2018, umum kedua-dua kelab itu semalam.

“Real Madrid dan Flamengo sudah mencapai kata sepakat bagi perpindahan Vinicius Junior bermula Julai 2018,” menurut satu kenyataan dalam laman web Flamengo.

Madrid menyatakan penyerang lincah itu akan kekal di Flamengo hingga Julai 2019 kecuali kedua-dua pasukan bersetuju dia boleh berpindah lebih awal.

Sekalipun kelab itu tidak menyatakan tempoh kontrak dan berapa bayaran perpindahan, laporan di Sepanyol menyarankan Madrid membelanjakan kira-kira 46 juta euro (RM220 juta), yang akan menjadikannya pembelian kedua termahal dari liga Brazil.

Paling mahal adalah bintang Barcelona, Neymar, yang berpindah dari Santos pada 2013 dengan bayaran kira-kira 86 juta euro (RM412 juta) dan pemain yang disamakan media dengan Junior.

Junior, yang akan berusia 17 tahun Julai ini, hanya melakukan penampilan pasukan utama kelab Rio itu 10 hari lalu namun persembahan cemerlangnya bersama skuad B-17 Brazil menyebabkannya dikatakan sebagai permata baru bola sepak Brazil.

Penyerang itu meraih anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan Mac lalu apabila dia membantu Brazil merangkul kejuaraan ke-12 pada kejohanan B-17 Amerika Selatan.

Dia dijangka mengemudi Brazil pada Piala Dunia B-17 di India, Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 10:19 AM