Luka Modric. FOTO AFP
Luka Modric. FOTO AFP
Agensi

LONDON: Tonggak Croatia, Luka Modric membuatkan bola sepak nampak mudah dan layak untuk mengetuai pasukannya di final Piala Dunia, kata bekas rakan sepasukannya di Real Madrid dan bintang Brazil, Kaka.

Penampilan Modric di Russia yang membawa pasukannya ke final pertama di Piala Dunia mendapat pujian menggunung daripada pengkritik terutama aksinya ketika Croatia membenam England di separuh akhir.

Kaka yang menghabiskan tempoh semusim bersama Modric di Real sebelum menyertai semula AC Milan pada 2013 berkata dia amat menghormati pemain nombor 10 itu yang disifatkannya cukup ‘rendah diri.’

“Luka (Modric) menunjukkan kepada kami betapa mudahnya untuk bermain bola sepak. Percayai saya, sebenarnya amat, amat sukar untuk bermain bola sepak,” kata Kaka dalam satu majlis bersama Adidas.

“Untuk bermain di Piala Dunia lebih sukar, dia bermain seperti biasa. Ia seperti tarian buatnya dan kini dia adalah pemain yang menakjubkan di peringkat tertinggi.

“Empat Liga Juara-Juara, final Piala Dunia dan menjadi kapten pasukannya. Jadi ia amat bagus dan dia cukup layak kerana dia adalah lelaki yang baik, tahniah kepada Modric.”

Selain menjadi pemain tengah yang paling banyak beraksi di Piala Dunia Russia, Modric juga menjadi pemain yang paling banyak berlari iaitu sejauh lebih 63 kilometer yang membawa pasukannya ke final.

Dia juga menjadi pemain Croatia pertama melakukan lebih 100 hantaran di Piala Dunia apabila mereka menewaskan tuan rumah, Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 12:26 PM