ADDO (kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika perlawanan persahabatan menentang Nicaragua pada 27 September lalu. FOTO fail Reuters
ADDO (kiri) memberi arahan kepada pemainnya ketika perlawanan persahabatan menentang Nicaragua pada 27 September lalu. FOTO fail Reuters
Reuters

London: Pengurus sementara Ghana, Otto Addo percaya pasukannya boleh memberi impak besar di Piala Dunia Qatar 2022 ketika melakukan persediaan bagi penampilan keempat di pusingan akhir kejohanan itu.

Addo yang tiada pengalaman melatih skuad senior sebelum ini, mengambil alih tugas jurulatih Ghana pada Februari selepas pemecatan Milovan Rajevac akibat tersingkir awal dari Piala Negara-Negara Afrika.

"Kami boleh menewaskan sesiapa sahaja. Terpulang kepada pemain, bukan saya. Persembahan mereka yang membawa pasukan sejauh ini. Mereka mempunyai kualiti sama ada bersama saya atau tanpa saya," kata Addo kepada laman web Fifa.

"Saya bertanggungjawab untuk meletakkan mereka di posisi yang betul supaya boleh menghasilkan persembahan terbaik dan mereka boleh bermain bersama."

Addo yang menggabungkan peranannya sebagai pengurus bakat di Borussia Dortmund dengan tugas bersama pasukan kebangsaan akan memimpin Ghana pada aksi sulung Kumpulan H menentang Portugal pada 24 November ini sebelum menentang Korea Selatan empat hari kemudian dan Uruguay pada 2 Disember.

"Kami akan menentang tiga lawan yang kuat dan kami boleh tewas ketiga-tiga perlawanan atau menang ketiga-tiganya.

"Semuanya terpulang kepada kami, bagaimana kami menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka, bagaimana kami menghalang mereka dan bagaimana kami bekerjasama sebagai satu pasukan," kata Addo.

"Setiap perlawanan berbeza dan perlawanan pertama sangat penting. Perlawanan berikutnya bergantung kepada perlawanan pertama.

"Kalau tewas, kami perlu lebih menyerang pada perlawanan kedua, tetapi jika tidak, kami boleh bersedia dalam keadaan berbeza."

Ghana akan bertemu Uruguay iaitu ulangan perlawanan kontroversi di Oiaka Dunia 2010 apabila skuad Amerika Selatan itu menang menerusi sepakan penalti, sekali gus menyekat Ghana muncul pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:47 PM