ADDO pada sidang media hari ini. FOTO Reuters
ADDO pada sidang media hari ini. FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Ghana, Otto Addo menyeru pemainnya supaya bersedia melakukan pengorbanan seperti dilakukan Luis Suarez pada 2010 ketika mereka menyasarkan tempat ke peringkat kalah mati Piala Dunia.

Penyerang Uruguay, Suarez mengecewakan Ghana 12 tahun lalu di Afrika Selatan apabila sengaja menampan bola menggunakan tangannya di garisan gawang gol pada aksi suku akhir.

Suarez dilayangkan kad merah tetapi Asamoah Gyan terlepas sepakan penalti dan Uruguay kemudiannya menewaskan Black Stars menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan berakhir 1-1.

"Sekiranya insiden yang sama berlaku sebaliknya dan Ghana akan mara ke separuh akhir, semua orang akan berkata 'OK, biasalah seorang pemain akan melakukan apa sahaja untuk membantu pasukannya mara ke separuh akhir'.

"Inilah yang saya harapkan daripada setiap pemain. Melakukan segala-galanya untuk memastikan pasukan layak dengan mengorbankan dirinya menerima kad merah," katanya.

Kemenangan akan menjamin Ghana mara ke pusingan kedua dan menyingkirkan Uruguay tetapi Addo berkata dia tidak terlalu memikirkan insiden Suarez itu.

"Jika saya melihatnya dari perspektif lain ia adalah perkara biasa, jadi bagi saya ia bukan topik besar.

"Bagi kami apa yang berlaku pada 2010 amat menyedihkan tetapi kami tidak boleh mengubahnya. Kami mahu memenangi perlawanan kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 11:14 PM