PEMAIN Portugal berlatih menjelang perlawanan dengan Ghana, Khamis ini. FOTO EPA
PEMAIN Portugal berlatih menjelang perlawanan dengan Ghana, Khamis ini. FOTO EPA
Reuters

Doha: Portugal mengharapkan permainan bola sepak bercakap untuk mereka apabila berdepan Ghana pada aksi pembukaan Piala Dunia, Khamis ini, di sebalik kontroversi melanda Cristiano Ronaldo dan hubungan dingin pasukan bersama media.

Portugal yang juga juara Euro 2016 membelasah Nigeria 4-0 dalam aksi terakhir sebelum berlepas ke Qatar, sekali gus memberi kelegaan kepada penyokong susulan aksi hambar sebelum ini.

Tetapi Ghana - yang mara ke suku akhir Piala Dunia 2010 - tiba di Qatar dengan kelegaan selepas menang 2-0 ke atas Switzerland pada aksi persahabatan.

Perlawanan di Stadium 974 di Doha itu memberi peluang kepada kedua-dua pasukan membuka langkah awal dalam Kumpulan H, yang turut dibaridi Uruguay dan Korea Selatan.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos berdepan tekanan hebat daripada media tempatan dan peminat susulan beberapa kekecewaan kebelakangan ini, termasuk tersingkir di pusingan 16 terbaik di Euro 2020, tahun lalu.

Selain itu, wujud kebimbangan dalam kalangan penyokong dengan tanggapan pasukan terlalu fokus kepada Ronaldo, yang kini berusia 37 tahun dan melepasi zaman gemilangnya.

"Suasana dalam bilik persalinan memang unggul, tiada masalah," kata Ronaldo yang juga pemenang lima kali Ballon D'Or.

"Kumpulan ini kebal. Saya ambil kesempatan sekali untuk untuk menyatakan supaya berhenti bertanya mengenai saya."

Tetapi, peluang Ronaldo lari daripada tumpuan nampak tipis susulan temu bual meletup di televisyen apabila dia menyatakan dikhianati Manchester United, sekali gus menimbulkan spekulasi dia akan meninggalkan kelab itu dalam masa terdekat.

Dia mengetuai Portugal menjulang trofi Euro 2016, tetapi Piala Dunia tidak memihak kepadanya dan Qatar akan menjadi peluang terakhirnya.

Sebahagian penyokong menyatakan masa Ronaldo sudah berlalu dan biarkan pemain berbakat seperti rakan sepasukannya di United, Bruno Fernandes dan Diogo Dalot serta pemain Manchester City iaitu Bernardo Silva, Ruben Dias dan Joao Cancelo mengambil giliran.

Membarisi Ghana adalah pemain tengah Arsenal, Thomas Partey; pemain pertahanan Leicester City, Daniel Amartey dan penyerang Athletic Bilbao, Inaki Williams.

Otto Addo iaitu pengurus ketiga Ghana dalam tempoh 12 bulan, terpaksa membina semula pasukan selepas prestasi hambar di Piala Negara-Negara Afrika pada awal 2022 dan membawa lebih ramai pemain dilahirkan di Eropah seperti bek sayap Brighton & Hove Albion, Tariq Lamptey.

Tetapi, perancangannya terencat apabila kedua-dua penjaga gol utama cedera, sekali gus memaksa penjaga gol ketiga, Lawrence Ati-Zigi yang bermain di St Gallen di Switzerland, menjadi pertaruhan untuk menghalang Ronaldo dan rakannya.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu di Piala Dunia 2014 di Brazil apabila Portugal menang 2-1 menerusi jaringan lewat Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 10:22 PM