SUAREZ pada sidang media hari ini. FOTO AFP
SUAREZ pada sidang media hari ini. FOTO AFP
AFP

Doha: Bintang Uruguay, Luis Suarez enggan memohon maaf kepada rakyat Ghana berhubung insiden sengaja menampan bola menggunakan tangannya pada saingan Piala Dunia 12 tahun lalu.

Pasukan Amerika Selatan itu menentang Ghana dalam pertembungan Kumpulan H, esok dengan misi wajib menang sekali gus ulangan kepada aksi suku akhir di Afrika Selatan pada 2010.

Suarez sengaja menepis bola dengan tangannya di garisan pintu gawang Uruguay untuk menghalang daripada gol, berpunca daripada tandukan Dominic Adiyiah pada hujung masa tambahan.

Suarez dilayangkan kad merah tetapi Asamoah Gyan terlepas sepakan penalti dan Uruguay memenangi penentuan sepakan sekali gus layak ke separuh akhir.

Suarez menjadi wira di tanah airnya manakala Ghana terlepas peluang untuk muncul pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Dua belas tahun kemudian, ditanya sama ada dia tahu bahawa rakyat Ghana melihatnya sebagai 'syaitan', Suarez berkata dia tidak menyesali insiden itu.

"Saya tidak mahu meminta maaf kerana bola terkena tangan saya tetapi pemain Ghana sendiri terlepas penalti, bukan saya.

"Mungkin saya boleh meminta maaf jika saya mengasari atau mencederakan pemain dan kemudian dilayangkan kad merah.

"Tetapi dalam situasi ini saya menerima kad merah, pengadil berkata 'penalti'. Ia bukan salah saya kerana saya tidak terlepas sepakan penalti, pemain itu sendiri terlepas sepakan penalti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 9:25 PM